REKAAN Razin, Techblade inspirasi kasut lereng.
REKAAN Razin, Techblade inspirasi kasut lereng.
Nurul Husna Mahmud


Fesyen antara 'arena' menghubungkan fantasi dengan realiti menerusi karya pereka penuh kreativiti.

Inspirasi menjadikan busana dihasilkan pereka tampil dengan rekaan unik dan berimej segar berlainan dengan pakaian harian.

Terbaru hasil rekaan pereka muda untuk projek akhir Program Diploma Seni Reka Fesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak baru-baru ini antara yang menarik perhatian penulis kerana menampilkan rekaan berani selain penuh inovasi.

Salah satunya ialah rekaan pereka muda, Razin Adam Rosli yang menggarap fungsi teknologi tinggi dan gaya jalanan pintar dipersembahkan dalam rekaan busana dinamakan Techblade.

Konsep rekaan pakaian itu diambil berdasarkan inspirasi permainan kasut lereng atau 'roller blade' yang mana menjadi medium untuk bergerak dengan pantas dan cekap.

"Dinamik pada rekaan Techblade juga mengetengahkan idea rekaan jalanan yang praktikal dan bergaya. Malah gaya jalanan juga mengalami 'gelombang' dalam trend fesyen semasa.

"Kalau lihat dalam rekaan baju ada unsur eklektik (dipilih atau diperoleh yang terbaik daripada pelbagai sumber yang berlainan) bahan.

"Tekstur material berat seperti kanvas digandingkan dengan material lebih ringan, kulit sintetik polivinil klorida (PVC leather) .

"Begitu juga dengan perincian pada bahagian tertentu yang mengekalkan ciri-ciri keselesaan klasik daripada material kapas dipadankan bersama penggunaan neoprene serta kesan penampanan span," katanya.

Tujuan pereka itu menggunakan pelbagai sumber adalah bagi memberi perincian jelas menggambarkan kasut lereng.

"Dari sudut rekaan baju ini pula siluet baju berpotongan besar atau luas mendominasi rekaan di bahagian atas baju.

PENGGUNAAN fabrik ringan dan tahan lasak neopren dan poliester.
PENGGUNAAN fabrik ringan dan tahan lasak neopren dan poliester.

"Tujuannya mencipta gaya yang menarik pada mata dan selesa digayakan. Pilihan reka bentuk ini menghormati gaya jalanan biasanya menampilkan potongan longgar.

"Perincian istimewa pada rekaan busana ini ialah ada visual seakan-akan 'putaran' bagi memberi gambaran kelajuan dan kecekapan kasut beroda terbabit," katanya yang mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan busana itu.

Seterusnya, pereka Sarah Batrisyia Huda Zainal Abidin tampil dengan konsep sinergi hampir sama iaitu busana Sky Trander's dengan memilih gaya 'sporty'.

Inspirasi daripada dunia sukan udara payung terjun atau paracut diterjemahkan dengan imej ranggi dan bergaya untuk menarik perhatian peminat fesyen melihat ia sebagai pakaian jalanan.

"Dalam rekaan Sky Trader's saya ambil masa kira-kira satu bulan untuk gaya penuh disiapkan. Elemen seperti ruang poket antara 'esen' ditampilkan mengambil kira penggunaan fabrik poliester, neopren dan kapas.

"Poliester dan neopren menyumbang kepada kebolehan koleksi ini, bagi memastikan pemakainya tidak hanya kelihatan cantik tetapi juga berasa selesa dalam kegunaan lasak.

"Rekaan ini saya cipta dengan inovasi rekaan yang boleh diubah kepada rekaan yang lain. Antaranya bahagian jaket juga boleh digayakan dengan pelbagai cara termasuk sebagai beg tidur," katanya.

Gadis berusia 23 tahun itu juga memilih palet biru dan oren terang untuk menonjolkan sisi berani berdasarkan sukan terbabit yang memerlukan penggiatnya mengharungi cabaran ketinggian.

Rekaan jalanan direka Iman Syafiqa Aqila Rozman pula mengabdikan keseronokan permainan arked. Ia dilihat menerusi pemilihan skema warna penuh ceria.

Kata Iman Syafiqa, dia banyak bereksperimen dengan warna dan persekitaran sehingga menghasilkan kira-kira lebih 120 lukisan bagi memilih tiga rekaan terakhir sebelum rangkuman gaya kepada keceriaan permainan arked.

"Perincian rekaan mencerminkan karakter permainan arked seperti kotak permainan, tempat syiling dan sebagainya.

"Hasilkan perincian itu, saya menggunakan pelbagai teknik untuk menghidupkan rekaannya.

PEMILIHAN skema warna neon menonjolkan rekaan Iman Syafiqa.
PEMILIHAN skema warna neon menonjolkan rekaan Iman Syafiqa.

NAIM Muizzuddin lebih dekat dengan seni ukiran kayu
NAIM Muizzuddin lebih dekat dengan seni ukiran kayu

"Antaranya sulaman mesin, jahitan 'trapunto,' fabrik digital, fabrik 'iron-on,' dan banyak lagi bergabung untuk mencipta tekstur yang menarik dan berlapis (layer) bertujuan mencerminkan kerumitan kenangan serta emosi ketika di tempat permainan itu," katanya.

Pereka itu tampil kreatif apabila menggunakan warna neon bersama fabrik seperti neopren dan 'mesh' selain skuba material untuk tonjolkan rekaan itu.

Sementara itu, rekaan Naim Muizzudin Adnan yang mengangkat tema ukiran kayu menerusi penggunaan motif 'Awan Larat Kerawang' dilihat percubaan yang berani pada busana kontemporari.

Pereka berusia 23 tahun itu melihat bentuk pada motif ukiran terbabit sudah cukup 'elegan' ditampilkan pada busana hitam.

"Motif ukiran kayu awan larat kerawang diletakkan pada perincian yang istimewa pada 'hud' dan dada baju.

"Peletakan motif pada rekaan ini diperincikan dengan teliti selain tekstur timbul bagi mencerminkan keindahan organik seni ukiran kayu.

"Ini secara tidak langsung menunjukkan seni baik fesyen atau kayu adalah seni yang beraras tinggi," katanya.

Untuk tiga rekaan baju tema terbabit, dia menggunakan fabrik kapas Jepun dan 'black voile shinne' bersama kulit PVC bagi perincian kerawang.

"Bagi semua rekaan tema ini, saya mengambil masa kira-kira sebulan untuk menyiapkannya. Setiap pasang baju mengambil masa empat hingga lima hari untuk disiapkan.

"Saya gunakan material lebih selesa selain disuntik dengan imej mewah menerusi black voile shinne dan kapas Jepun sebagai 'base.' Kulit PVC elastik berwarna keemasan adalah motif timbul untuk kerawang pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 7:01 AM