FATIMAH mahu didik wanita pelajari seni mempertahankan diri. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
FATIMAH mahu didik wanita pelajari seni mempertahankan diri. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Siti Zarinah Sahib


AKSI wanita ini ketika melakukan senaman seni bela diri Muay Thai tampak begitu bersahaja. Pukulan demi pukulan membabitkan anggota kedua-dua belah siku, lutut, kaki dan tangan dilakukan agak padu dan tepat mengenai sasaran.

Benarlah pengalaman sepanjang enam tahun dalam Muay Thai menjadi guru terbaik bagi Fatimah Attaullah atau lebih dikenali sebagai Coach Tim membentuk ketangkasan, tumpuan, kekuatan fizikal dan mental untuk menjadi jurulatih terbaik dalam sukan yang jarang disertai wanita.

Menurut wanita kelahiran Pulau Pinang ini, dia mula terbabit dalam Muay Thai sejak 2013, namun asas seni bela diri seperti taekwondo sudah mula dipelajari ketika di sekolah menengah.

“Bagi mengisi masa terluang ketika bekerja saya mula mencari senaman yang membolehkan saya mencabar diri. Saya dan beberapa kawan mula ke gimnasium yang menyediakan seni bela diri Muay Thai. Sejak itu, saya tertarik dengan Muay Thai yang lasak dan tangkas,” katanya di AzAy Fitness Studio yang menyediakan latihan Muay Thai untuk wanita.

Selepas beberapa bulan mendalami ilmu seni bela diri ini, lama-kelamaan Fatimah mulai jatuh cinta lalu mengambil inisiatif berkunjung ke Thailand dengan tujuan mengikuti latihan secara intensif bagi membolehkan dirinya bergelar jurulatih.

“Niat saya mendalami bidang ini secara profesional kerana ingin mendidik wanita supaya sedar pentingnya kita mempelajari sekurang-kurangnya satu jenis seni bela diri bagi mengelak daripada sebarang musibah yang tidak dijangka. Selain itu, sukan ini juga dapat membentuk disiplin menerusi latihan dijalankan.

TANGKAS dan padu dalam pergerakan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
TANGKAS dan padu dalam pergerakan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

“Ini kerana selain langkah keselamatan, dalam setiap pergerakan ada ditekankan mengenai pentingnya masa dan menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Menggemari aktiviti lasak seperti meredah hutan, mendaki gunung dan senaman berintensiti tinggi, namun Muay Thai lebih dicintainya kerana ia membantu Fatimah meningkatkan daya tumpuan selain memberi kesan positif dalam kehidupan harian terutama produktiviti di tempat kerja.

“Senaman ini juga mengajar teknik menumpaskan lawan dengan cara yang betul dan pantas. Ini sangat penting kerana wanita perlu tahu cara mempertahankan diri terutama pada zaman sekarang apabila risiko bencana (jenayah) sentiasa ada tidak mengira tempat,” katanya yang bekerja dalam bidang kewangan di sebuah syarikat makanan dan minuman di ibu kota.

Dia yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya dan sekarang menyambung pengajian di peringkat sarjana di Unirazak secara separuh masa mengakui biarpun jadual hariannya padat dengan pelbagai aktiviti, namun impian untuk menjadi jurulatih Muay Thai dan kickboxing tidak pernah padam.

“Sekarang saya menjadi jurulatih Muay Thai separuh masa. Pada masa sama saya juga melanjutkan pelajaran untuk mendapatkan sijil tahap satu dan dua bagi mengukuhkan asas dan teknik Muay Thai supaya berada pada tahap yang lebih tinggi,” katanya.

MENJADI jurulatih Muay Thai untuk wanita. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
MENJADI jurulatih Muay Thai untuk wanita. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Bantu bakar kalori

Menjelaskan lebih lanjut mengenai faedah Muay Thai kepada pengamalnya, Fatimah mencadangkan wanita yang ingin menurunkan berat badan supaya menyertainya sukan seni bela diri ini kerana pergerakannya memerlukan stamina serta kekuatan teras yang baik.

“Sebagai pemain sukan profesional, untuk kekal cergas mereka perlu berlari 10 kilometer sehari. Sebab itu Muay Thai membantu membakar kalori lebih dari 800 sehingga 1,000 kalori sejam,” katanya.

Buktinya jika dahulu Fatimah sering berasa cepat penat dan tidak cukup stamina disebabkan aktiviti seharian, tetapi selepas menyertai Muay Thai secara konsisten, dia menjadi lebih bertenaga.

“Seronoknya saya dapati daya tumpuan semakin meningkat. Saya juga menjadi lebih berdisiplin dan tidak mudah berputus asa dalam segala segi. Muay Thai mengajar saya untuk cuba melakukan sebaik mungkin dan tidak membandingkan prestasi diri sendiri dengan orang lain.

“Pada masa sama senaman ini membantu membentuk keberanian dan mengubah pemahaman mengenai konsep ‘bela diri’ terutama bagi wanita. Saya mahu wanita lebih cakna dalam melindungi diri mereka,” nasihatnya.

Bagi Fatimah, wanita zaman ini tidak perlu takut mencuba sesuatu yang baru. Ini kerana banyak gimnasium yang menyediakan kelas seni bela diri di bawah panduan jurulatih berpengalaman. Di sekitar Kuala Lumpur sahaja ada beberapa pusat latihan Muay Thai wanita yang memberi privasi kepada wanita untuk mencuba.

“Saya berharap lebih ramai wanita tampil mempelajari seni bela diri sebagai persediaan mempertahankan diri dalam mendepani zaman yang semakin maju namun penuh dengan bahaya. Kos dalam sukan ini juga tidak banyak, hanya perlukan karung tinju, peralatan keselamatan dan pakaian khas. Malah dengan tangan kosong pun boleh berlatih, di mana-mana dan pada bila-bila masa asalkan tahu cara dan teknik yang betul,” katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 5:00 AM