Nur Lela Zulkipli


DIA menyangka hanya akan menjalani kehidupan sebagai suri rumah sepenuh masa sehingga hari tua, namun segalanya berubah apabila dia kini bergelar peninju Muay Thai.

Malah, ibu kepada tujuh anak, Mazlindawati Mahfal, 37, berjaya membuktikan tiada apa yang boleh menghalang seseorang untuk mengejar impian jika komited mahu mencapainya.

Menurut Mazlindawati, dia mula menyertai seni bela diri itu pada November tahun lalu dengan harapan dapat mengurangkan berat badannya yang melebihi 100 kilogram (kg).

“Apabila berat lebih 100kg, saya mudah jatuh sakit dan penat apabila terlalu gemuk.

“Ribuan wang ringgit juga sudah dibelanjakan untuk program pelangsingan badan, namun tiada satu pun yang berkesan.

“Sehinggalah pada satu hari, suami mencadangkan saya menyertai Muay Thai yang tidak memerlukan modal tinggi sebaliknya hanya perlukan semangat kental dan emosi yang kuat,” katanya ketika ditemui di gelanggang Muay Thai di Kampung Sungai Kandis di sini, baru-baru ini.

MAZLINDAWATI kekal menjalani latihan Muay Thai walaupun sudah mencapai berat badan ideal.
MAZLINDAWATI kekal menjalani latihan Muay Thai walaupun sudah mencapai berat badan ideal.

Mazlindawati berkata, disebabkan sudah terlalu lama menjalani hidup sebagai ibu di rumah sepenuh masa, agak kekok baginya untuk menyesuaikan diri dengan rutin senaman yang perlu dilakukan setiap hari dengan konsisten.

“Pada awalnya saya agak kekok kerana perlu meninggalkan rutin harian dalam rumah tangga sebelum ini dan menggantikannya dengan senaman dan latihan Muay Thai.

“Namun, semua urusan saya dipermudahkan dan suami adalah individu paling banyak berkorban dengan menggantikan tugas saya sebagai suri rumah sepenuh masa.

“Tugas memasak, mengemas dan juga menguruskan anak semua diambil alih suami supaya tumpuan saya untuk sihat tidak terganggu,” katanya.

Mazlindawati memulakan harinya dengan berjogging dan rutin senaman kardio di gimnasium dan menyambung latihan Muay Thai pada sebelah malam.

Berkat kesabaran wanita itu akhirnya membuahkan hasil apabila mampu mengurangkan berat hampir 35kg hanya dalam masa lapan bulan sekali gus melayakkan dirinya menyertai Kejohanan Mangkron Fight di Hulu Langat, Oktober ini.

Kejohanan itu turut disertai peninju muay thai dari seluruh pelusuk dunia dan acara yang ditunggu-tunggu peminat sukan berkenaan.

Katanya, biarpun sudah berjaya mencapai matlamat mempunyai berat ideal, kejayaan itu bukanlah datang bergolek dan kesakitan yang ditanggung adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.

“Saya sangka hanya akan berlatih menumbuk dan menendang seperti biasa, namun sebaliknya yang berlaku apabila saya tidak terkecuali merasai penangan tumbukan dan tendangan peninju lain semasa berlatih.

“Muka lebam, kaki berdarah, tisu koyak, terseliuh dan senak perut antara kesakitan yang saya rasakan sepanjang latihan.

“Namun, semakin sakit, semakin saya bersemangat untuk teruskan latihan.

“Saya mahu buktikan suri rumah juga boleh berjaya mencapai impian asalkan orang sekeliling memberi sokongan dan kekalkan semangat yang kuat untuk lakukan sehabis baik,” katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana bertemu jurulatih muay thai, Raja Ahmad Talmizi Raja Abdullah yang sabar melatihnya tanpa memberikan tekanan.

RAJA Ahmad Talmizi (tengah) bersama peserta Muay Thai yang dilatihnya.
RAJA Ahmad Talmizi (tengah) bersama peserta Muay Thai yang dilatihnya.

“Saya tidak pernah rasa tertekan apabila berlatih Muay Thai biarpun sakit satu badan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Talmizi berkata, dia mendorong Maslindawati menyertai kejohanan sukan terbabit kerana yakin wanita berkenaan mempunyai sifat juang yang tinggi dan tidak mudah putus asa.

“Mazlindawati saya gelar sebagai Super Mom kerana semangatnya amat luar biasa dan itulah yang sepatutnya dimiliki peninju Muay Thai untuk berjaya.

“Setiap kali Mazlindawati sakit selepas berlatih, saya tidak pernah lihat dia mengeluh malah masih sampai tepat pada waktunya pada latihan esok harinya,” katanya yang turut yakin anak didiknya itu mampu memenangi kategorinya pada Kejohanan Mangkron Fight nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 1:33 PM