GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin


PEMBANTU rumah bot bertindak luar kawalan apabila mengelar tangannya sebelum melarikan diri ke dalam hutan dekat Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir di Kuala Berang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa berusia 21 tahun dari Kampung Temir, Kuala Berang dikatakan bertindak demikian akibat tekanan berikutan berdepan masalah rumah tangga.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian disedari pemandu rumah bot berkenaan, yang kemudian memaklumkan kepada seorang rakan mereka.

Beliau berkata, mangsa yang baru bekerja tidak sampai seminggu di rumah bot berkenaan dikatakan tertekan kerana mempunyai masalah rumah tangga.

“Ketika kejadian, rumah bot berkenaan sedang berhenti di kawasan air terjun berkenaan.

“Susulan kejadian pemandu rumah bot berkenaan dikenali sebagai Awie dan beberapa rakannya cuba mencari mangsa di lokasi kejadian, namun gagal menemuinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selepas gagal menemui mangsa, seorang rakan mangsa berusia 37 tahun kemudian membuat laporan mengenai kejadian jam 12 tengah malam tadi di Balai Polis Kuala Berang untuk tindakan lanjut.

Mohd Adli berkata, susulan laporan diterima pihaknya menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat mangsa (SAR).

“Ketika ini, polis dengan kerjasama bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pasukan Gerakan Marin dengan kekuatan keseluruhan 23 pegawai dan anggota serta empat bot memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR), jam 8 pagi ini di lokasi kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 11:28 AM