Calon PH, Pang Sock Tao (kiri) beramah mesra dengan peniaga ketika walkabout di Pasar Pagi Batang Kali sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Calon PH, Pang Sock Tao (kiri) beramah mesra dengan peniaga ketika walkabout di Pasar Pagi Batang Kali sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Hulu Selangor: Hari kedua kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini, calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao melahirkan keyakinan gabungan itu boleh mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming itu turut melahirkan keyakinan pihaknya boleh menarik sokongan pengundi Melayu.

"Hari ini hari kedua berkempen. Saya bersama pasukan melawat ke pasar sekitar Batang Kali dan ramai pengundi Melayu di kawasan itu.

"Di kawasan itu, saya mendapat sambutan baik yang banyak memberikan sokongan dan dokongan kepada saya. Galakan ini memberi semangat kepada saya dan saya sangat yakin kita boleh kekalkan Kuala Kubu Baharu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Khidmat Kuala Kubu Baharu bersama Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.

Dalam pada itu, Sock Tao berkata, Kuala Kubu Baharu bukan kawasan atau tempat asing baginya walaupun beliau bukan anak tempatan.

Beliau dalam masa sama menyatakan Kuala Kubu Baharu telah 'menawan' hatinya dengan keindahan alam yang ada.

"Saya anak jati Selangor dan dilahirkan di Ampang. Universiti saya belajar juga di Selangor. Kuala Kubu Baharu tidak asing bagi saya kerana saya pernah mengikut gerak kerja mendiang, Lee Kee Hiong berkhidmat, menganjurkan program dan bagaimana dia membuat program kesenian serta kebajikan masyarakat," katanya.

Sock Tao juga berpandangan cabaran dihadapi pihaknya pada masa ini adalah bagaimana untuk menarik pengundi untuk turun mengundi pada 11 Mei depan.

"Bagi kita, hak mengundi adalah hak rakyat dan PRK Kuala Kubu Baharu ini adalah untuk memilih wakil rakyat di kawasan ini," katanya.

Beliau turut memaklumkan pihaknya akan membentangkan manifesto pada minggu hadapan.

Sock Tao ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut serta Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, Kee Hiong dari PH memperoleh majoriti 4,119 undi menewaskan tiga pencabarnya yang lain iaitu Chng Boon Lai (PRM), Teoh Kien Hong (PN) dan Dr R Siva Prakash (Muda).

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 3:39 PM