Baharom Bakar


Dungun: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat punca seorang kanak-kanak berusia tiga tahun lemas di Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir, Kuala Berang, Jumaat lalu.

Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata, siasatan akan dilakukan jawatankuasa itu bukan sahaja mengenal pasti punca kejadian, sebaliknya cadangan untuk melakukan penambahbaikkan berkaitan aspek keselamatan.

Beliau berkata, jawatankuasa turut dianggotai Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir itu diminta mengemukakan cadangan untuk mempertingkatkan keselamatan bagi mengelakkan insiden pengunjung lemas berulang.

"Walaupun kejadian pengunjung lemas di Tasik Kenyir dianggap sebagai kes terpencil, usaha untuk tingkatkan keselamatan perlu dilakukan.

"Antara langkah akan dilakukan Ketengah adalah menyediakan jaket keselamatan kepada rumah rakit, rumah bot dan bot laju," katanya kepada media selepas merasmikan pra pelancaran Muzium Bukit Besi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB), Mohd Zaid Sulaiman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi, Roslee Daud.

Jumaat lalu, kanak-kanak lelaki, Muhammad Alfateh Muhammad Khairul Aiman ditemukan lemas selepas terjatuh dari rumah bot di kawasan air terjun Lasir.

Kejadian lemas di tasik buatan manusia itu adalah yang kedua selepas seorang pengantin baharu, Ami Azzizol Abu Bakri, 22, lemas ketika mandi di Sungai Petuang, Mac lalu.

Razali berkata, Ketengah bersetuju mengagihkan 3,000 pasang jaket keselamatan bernilai RM250,000 kepada rumah bot, rumah rakit dan bot laju.

Beliau berkata, Ketengah akan mewujudkan pasukan penyelamat khas untuk melakukan pemantauan di beberapa lokasi menjadi tumpuan pengunjung di Tasik Kenyir.

"Antara lokasi menjadi tumpuan pengunjung adalah di santuari kelah dan beberapa kawasan air terjun termasuk di Lasir.

"Kami akan menganjurkan kursus pertolongan cemas kepada semua operator rumah bot, bot laju dan rumah rakit," katanya.

RAZALI (kiri) melihat  pameran disediakan di Muzium Bukit Besi, hari ini. FOTO Baharom Bakar
RAZALI (kiri) melihat pameran disediakan di Muzium Bukit Besi, hari ini. FOTO Baharom Bakar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 4:54 PM