RIENA Diana. FOTO arkib NSTP
RIENA Diana. FOTO arkib NSTP
Norhayati Nordin dan Syafil Syazwan Jefri dan Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Riena Diana, 27, yang memegang watak Farah Mokhtar dalam drama bersiri Wanita Syurga kini 'dibenci' masyarakat berikutan watak 'penyondol' yang dibawanya dalam drama itu.

Riena berkata, itu menjadi pembakar semangat buatnya kerana tahap benci penonton itu umpama penanda aras untuk watak jahatnya itu.

"Semua orang marah kepada saya. Ke mana saya pergi, ada yang cakap menyampah tengok saya.

"Agaknya sebab mereka dah pernah tengok saya bawa watak Lailer (dalam drama Kampung People) dulu, tapi benci dengan watak Farah. Mereka tanya macam mana saya boleh bawa watak ini.

"Ada yang tak sampai hati nak marah. Ada yang DM saya akan balas, cakap terima kasih sebab tak suka perwatakan Farah ini," katanya kepada Metro Ahad.

Menurut Riena, bukan saja dalam kalangan penonton wanita, ramai juga penonton lelaki tidak sukakan watak 'penyondol' rumah tangga itu.

"Ini watak yang saya nantikan. Saya cakap kepada pengarah, saya takut orang tak benci watak ini sebab itu tunjukkan watak itu tak menjadi. Tapi, di set pun bila orang tengok di monitor, ramai yang cakap sakit hati.

"Selalunya, kita dapat maklum balas, perempuan saja benci. Tapi, rupa-rupanya ada ramai juga penonton lelaki yang marah sebab kata mereka saya 'gedik'," katanya.

Kini, Riena membuktikan dia dapat 'keluar' daripada watak gadis bimbo seperti Lailer dan tidak hanya mampu membawakan watak komedi.

"Saya rasa, orang mula panggil saya Farah Mokhtar. Saya bangga bila macam itu. Bukan nak lari daripada watak Lailer, tapi saya nak orang nampak kepelbagaian saya dalam melakonkan pelbagai watak.

"Ada pelakon senior nasihatkan supaya lari daripada watak Lailer, dan cuba watak lain. Jadi, bila diberi peluang kali ini, Alhamdulillah penonton terima.

"Kalau selepas ini ada peluang lagi, saya terbuka untuk bawa pelbagai watak. Saya tak mahu tersekat di satu tahap atau watak sahaja," katanya.

Selain Riena, drama Wanita Syurga yang ditayangkan di slot Akasia TV3 itu turut dibintangi Siti Khadijah Halim dan Redza Rosli.

Berita berkaitan:

Penyondol resipi 'gam' penonton

Boleh sakit hati, usah terlalu emosi

'Sampai sekarang dipanggil Nurul Ain'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 3:42 PM