ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa lemas di Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir, semalam.
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa lemas di Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir, semalam.

Hulu Terengganu: “Kami sudah perasan dan beritahu tekong air masuk dalam bot, tetapi dia tak dengar.

“Dalam keadaan kelam-kabut, tiba-tiba bot itu terbalik,” kata Muhammad Muzzamil Abdullah, 26, rakan kepada kakitangan penjara di Ayer Molek, Johor, Azhar Tukimin yang lemas selepas bot gentian kaca dinaiki karam dalam kejadian berhampiran Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir, kelmarin.

Muhammad Muzammil berkata, kejadian jam 1.45 petang itu berlaku terlalu pantas dan dia serta rakan lain tidak sedar mangsa hilang kerana sibuk menyelamatkan diri.

“Kami tiba seramai 15 orang termasuk dua kanak-kanak di Tasik Kenyir kira-kira jam 9 pagi dan terus menaiki rumah bot disediakan.

“Kira-kira jam 1.30 petang, kami tiba berhampiran kawasan air terjun dan tekong mengajak kami menaiki bot gentian kaca untuk ke tempat itu.

“Bot berkenaan sempit dan kami seramai sembilan orang termasuk dua kanak-kanak dan tekong bot menaikinya,” katanya.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan, bot yang dinaiki mereka dimasuki air sebelum karam menyebabkan semua mangsa terjatuh ke dalam air.

“Sebelum itu, kami menyedari bot mula dimasuki air lalu memaklumkan jurumudi bot namun tidak lama selepas itu air mula memenuhi bot dan terus karam.

“Dalam keadaan panik, masing-masing cuba menyelamatkan dua kanak-kanak yang berusia kira-kira empat tahun termasuk anak arwah sebelum menyedari arwah hilang,” katanya ketika ditemui di Hospital Hulu Terengganu, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Hussin Deraman mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 4 petang kelmarin oleh orang awam yang membantu operasi pencarian.

“Mayat mangsa dibawa ke Pengkalan Gawi di Tasik Kenyir sebelum dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 9:22 AM