Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Kegembiraan seorang kanak-kanak menghabiskan cuti hujung minggu bersama keluarganya bertukar tragedi apabila dia lemas selepas terjatuh daripada sebuah rumah bot berhampiran air terjun Sungai Lasir, Tasik Kenyir di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam, mangsa Muhammad Al Fateh Muhammad Khairul Aiman berusia tiga tahun dilaporkan tenggelam selepas terjatuh dari rumah bot yang disewanya bersama keluarga.

Ketika kejadian, bapa mangsa, Muhammad Khairul Aiman Mohd Ariffin, 30, sedang mengambil wuduk untuk menunaikan solat Isyak sebelum dimaklumkan anak bongsunya terjatuh ke dalam tasik berkenaan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kejadian menimpa mangsa disedari pekerja rumah bot berkenan yang segera terjun bagi menyelamatkan kanak-kanak itu.

Beliau berkata, mangsa yang ditemui kira-kira 10 minit kemudian berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum diberi bantuan pernafasan.

Katanya, mangsa dibawa ke Jeti Pengkalan Gawi sebelum sekali lagi diberi bantuan pernafasan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di jeti berkenaan namun keadaan mangsa masih sama.

"Pegawai perubatan yang tiba di jeti berkenaan jam 10.48 malam mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk tindakan lanjut," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Difahamkan, mangsa yang tinggal di Kampung Telaga Daing, Kuala Terengganu bersama ahli keluarganya berlepas dari Jeti Pengkalan Gawi untuk bermalam di Air Terjun Lasir kira-kira jam 3 petang.

Terdahulu, Rohaimi melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan Tasik Kenyir.

Rohaimi turut mengingatkan orang ramai terutama ibu bapa untuk memberi perhatian lebih kepada anak-anak ketika berada di kawasan rekreasi terutama membabitkan air.

Katanya, ibu bapa dan penjaga perlu lebih peka sekiranya berada di kawasan rekreasi bagi mengelak kejadian tidak diingini berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 2:30 PM