SANJAY mengakui bahawa dia teruja dengan kemenangan dan gelaran pertama yang diraihnya. FOTO Ihsan Persatuan Squash Negeri Sembilan
SANJAY mengakui bahawa dia teruja dengan kemenangan dan gelaran pertama yang diraihnya. FOTO Ihsan Persatuan Squash Negeri Sembilan
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain skuasy negara terus melakar kejayaan di pentas antarabangsa dan kali ini giliran Sanjay Jeeva bergelar juara Terbuka Bermuda.

Ia juga adalah gelaran sulung buat Sanjay yang berada di ranking ke-76 dunia dalam siri Jelajah PSA.

Sanjay, 24, yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mengatasi pemain nombor 122 dunia dan pilihan keenam, Andres Herrera dari Colombia 11-7, 11-7, 11-3 dalam masa 45 minit di final.

Diletakkan sebagai pilihan kedua, Sanjay mengakui bahawa dia teruja dengan kemenangan dan gelaran pertama yang diraihnya.

"Saya gembira kerana bukan setiap hari saya boleh beraksi di final," kata Sanjay.

"Ini adalah final kedua saya, jadi apabila saya menang saya bersorak gembira. Saya cuba mengawal dan kekal tenang sepanjang perlawanan dan melepaskan semuanya apabila saya mendapat kemenangan.

"Saya sudah memenangi beberapa kejohanan satelit PSA, tetapi saya tidak pernah memenangi Jelajah PSA dan akhirnya saya berjaya melakukannya, menggenggam gelaran juara," katanya.

Mengulas mengenai perlawanan akhir, Sanjay berkata, dia menggunakan segala kelebihan yang ada apabila melihat Andres agak keletihan selepas aksi separuh akhir.

Peluang itu digunakan sebaiknya untuk merangkul gelaran pertama dalam kariernya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 3:47 PM