Baharom Bakar


Kuala Nerus: "Muhammad Alfateh beriya-iya sangat nak ke Tasik Kenyir dan berhasrat untuk mandi air terjun di Sungai Lasir, hari ini," kata Siti Mariam Alias, 30, ibu kepada kanak-kanak berusia empat tahun yang ditemukan lemas selepas terjatuh daripada rumah bot.

Siti Mariam yang juga guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) berkata, hasrat Muhammad Alfateh Muhammad Khairul Aiman, 4, yang juga anak bongsu daripada empat beradik untuk menikmati kesejukan air terjun pagi ini tidak kesampaian apabila dia ditemukan lemas selepas terjatuh daripada rumah bot, kira-kira jam 8.20 malam semalam.

Katanya, Muhammad Alfateh mungkin tergelincir dan terjatuh ke dalam tasik ketika cuba untuk ke sebuah lagi rumah bot yang diletakkan bersebelahan dengan rumah bot disewa penduduk kampung.

"Kami reda dengan ketentuan Allah dan kami tidak menyalahkan sesiapa termasuk pemandu rumah bot," katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Seberang Takir, di sini, hari ini.

Siti Mariam berkata demikian ketika dikunjungi Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris.

RAZALI (kiri) ketika mengunjungi dan menyampaikan ucapan takziah kepada Siti Mariam (kanan) dan Muhammad Khairul Aiman (tengah) atas kematian anak bungsunya, Muhammad Al-Fateh. FOTO Baharom Bakar
RAZALI (kiri) ketika mengunjungi dan menyampaikan ucapan takziah kepada Siti Mariam (kanan) dan Muhammad Khairul Aiman (tengah) atas kematian anak bungsunya, Muhammad Al-Fateh. FOTO Baharom Bakar

Turut hadir menyampaikan ucapan takziah dan bantuan pengurusan jenazah adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Holding Sdn Bhd (KHSB), Mohd Zaid Sulaiman dan Timbalan Pengurus Besar Operasi Ketengah, Ahmad Fakaruddin Ahmad.

Mengulas lanjut, Siti Mariam berkata, dia dan suami serta anak-anaknya bersama jawatankuasa surau dan penduduk kampung ke Tasik Kenyir dengan menyewa dua rumah bot.

Katanya, ahli rombongan berlepas daripada jeti di Pengkalan Gawi kira-kira jam 3 petang dan sampai di kawasan perkelahan berhampiran air terjun Sungai Lasir, Tasik Kenyir, kira-kira jam 6 petang.

"Ketika kejadian, suami Muhammad Khairul Aiman Mohd Ariffin, 30, sedang mengambil wuduk untuk solat isyak dan saya sedang bersiap untuk menunaikan solat.

"Kami terkejut apabila rakan suami memaklumkan Muhammad Alfateh terjatuh ke dalam tasik.

Ketika itu saya dan suami serta ahli rombongan mendapati pekerja rumah bot sudah berenang dan menyelam untuk membantu mengesan Muhammad Alfateh," katanya yang mengesahkan sudah serik untuk berkelah diTasik Kenyir.

Jenazah Muhammad Alfateh selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan di Makam Lama, Cabang Tiga, selepas proses bedah siasat dilakukan kira-kira jam 11 pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 9:22 PM