GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zarina Abdullah

PERCUTIAN sekeluarga berakhir tragedi selepas seorang daripada mereka lemas apabila bot kecil dinaiki untuk ke Air Terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir, di Kuala Berang, terbalik.

Sebelum kejadian kira-kira jam 10 pagi hari ini, mangsa, Ali Ahmad, 68, yang juga pesara Jabatan Pertanian Malaysia dari Jalan Mutiara Rini, Skudai, Johor, menginap di rumah bot bersama isteri dan ahli keluarganya.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, sebaik tiba di Sungai Lasir, mangsa menaiki sebuah bot kecil untuk bersiar-siar sebelum bot berkenaan menuju ke lokasi di kawasan air terjun.

“Isteri mangsa memaklumkan selepas meninggalkan rumah bot itu pada jarak lebih 30 meter, tiba-tiba bot dinaiki suaminya terbalik menyebabkan semua penumpang terjatuh ke dalam tasik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Adli berkata, semua tujuh penumpang termasuk enam kanak-kanak dan pemandu bot sempat diselamatkan petugas rumah bot yang berada di kawasan berdekatan.

Bagaimanapun katanya, mangsa gagal ditemui.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian ditemui oleh petugas rumah bot itu tidak jauh dari lokasi dia terjatuh.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Sungai Chemor sebelum dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.

“Siasatan awal mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 7:44 PM