Mahani Ishak


Hulu Selangor: Calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili DAP, Pang Sock Tao semakin matang pada hari kedua dalam menangkis persoalan dan persepsi orang ramai yang melihatnya sebagai tetap calon luar bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei depan.

Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu bagaimanapun menegaskan biarpun bukan anak tempatan, beliau sangat dekat dengan Kuala Kubu Bharu kerana pernah bersama gerak kerja bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong.

"Saya anak jati Selangor dilahirkan di Ampang, belajar di Selangor dan Kuala Kubu Bharu tidak asing kepada saya.

"Saya biasa mengikut gerak kerja mendiang (Kee Hiong) dan menyaksikan bagaimana beliau berkhidmat, menganjur program serta membawa semangat membuat program kesenian, kebajikan masyarakat.

"Jadi Kuala Kubu Bharu ini sememangnya tidak asing bagi saya, hati saya ditawan dengan keindahan alam semula jadi di sini," katanya.

PRK kali ini menyaksikan saingan empat penjuru dengan PH berdepan lawan daripada Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) diwakili Hafizah Zainuddin manakala Nyau Ke Xin mewakili Bebas.

Terdahulu, beliau menyaksikan penyerahan borang penubuhan cawangan DAP Melayu baharu, DAP Jalan Bunga Kemboja yang diterima Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo di Pusat Khidmat Adun Kuala Kubu Baharu di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Sock Tao turut menjelaskan mengenai beliau sering diajukan mengapa sebabnya menceburi dunia politik meskipun berkelulusan bidang kejuruteraan.

Ini kerana katanya, ramai menganggap politik satu politik kotor dan dicemari, membawa perpecahan serta provokasi.

"Namun saya dengan pengalaman di dua kementerian sebelum ini, bagi saya politik salah satu rangka yang paling straight forward untuk membawa perubahan kepada kehidupan.

"Justeru saya ingin mengajak anak muda membawa perubahan kepada kawasan setempat melalui saluran politik dengan menyertai DAP, memberi idea bagaimana kita untuk membangunkan kawasan demi menjamin kesejahteraan rakyat.

"Bagaimana kita dapat menjadikan politik matang, membawa politik baharu dalam negara dengan DAP," katanya.

Sementara itu, beliau merayu supaya pengundi luar dapat kembali menunaikan tanggungjawab mengundi pada 11 Mei depan demi masa depan rakyat.

"Saya harap pengundi luar dapat memilih wakil rakyat. Untuk perkembangan kempen, kita jangkakan manifesto akan diumumkan minggu di platform media sosial," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan keyakinan pengundi Melayu yang menyambut baik dia bertemu mesra ketikanya melawat pasar atau premis niaga yang kebanyakan kaum itu.

"Misalnya, pada pagi ini saya melawat Pasar Tani Batang Kali dan saya mendapat sambutan baik, mereka memberi galakan dan semangat untuk saya berkempen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 3:52 PM
Calon PH, Pang Sock Tao ketika walkabout di Pasar Pagi Batang Kali sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Calon PH, Pang Sock Tao ketika walkabout di Pasar Pagi Batang Kali sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM