ABD Zarin ketika hadir di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
ABD Zarin ketika hadir di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bekas veteran Umno, Datuk Abd Zarin Mohd Yasin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan hantaran jelik mengenai urusan pembelian vaksin menerusi Facebook miliknya, empat tahun lalu.

Bagaimanapun, bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak itu, Abd Zarin, 72, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, penulis blog Sang Kelembai itu secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi aplikasi Facebook dengan menggunakan Facebook 'Zaharin Mohamad Yasin', pada 2.03 pagi, 21 Disember 2020.

Hantaran itu dibaca di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, pada 3 petang, 22 Disember 2020 mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan OKS dilarang membuat sebarang hantaran sepanjang kes berlangsung.

Peguam Datuk Abu Bakar Isa Samat mewakili Abd Zarin memohon jaminan rendah kerana OKS yang juga pesara syarikat swasta dan pernah bekerja sebagai pengamal media serta penulis mempunyai penyakit kencing manis yang kronik dan darah tinggi.

"OKS mempunyai empat anak dengan seorang daripadanya masih belajar di universiti sudah tidak bekerja. Isterinya hanya suri rumah akan menjadi penjamin dan menggunakan duit simpanan untuk membayar jaminan," kata peguam itu.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Priscilla membenarkan OKS diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes 26 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 12:07 PM