GAMBAR hiasan vaksin malaria. FOTO Agensi
GAMBAR hiasan vaksin malaria. FOTO Agensi
Reuters

London: Vaksin malaria yang dibangunkan Universiti Oxford dan Institut Serum India berjaya mengurangkan kira-kira tiga perempat kes malaria bergejala terhadap kanak-kanak pada tahun pertama selepas mereka mendapat suntikan.

Itu dapatan diperoleh hasil keputusan ujian percubaan yang dijalankan besar-besaran sebelum ini.

Vaksin yang sudah diluluskan untuk digunakan oleh pengawal selia di tiga negara Afrika Barat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu, adalah yang kedua tersedia tahun ini.

Vaksin pertama dilancarkan di Cameroon awal bulan ini yang dibangunkan GSK.

Kedua-dua vaksin berpotensi melawan penyakit bawaan nyamuk itu yang masih membunuh lebih daripada setengah juta orang, terutama kanak-kanak di sub-Sahara Afrika, setiap tahun.​

"Ini yang kita tunggu... selama berdekad," kata ketua pelaksanaan vaksin malaria WHO, Mary Hamel dalam satu temuramah.

Katanya, mempunyai dua vaksin malaria yang selamat dan berkesan amat penting untuk memenuhi permintaan.

Keputusan percubaan peringkat akhir untuk suntikan vaksin dari Oxford dan Serum, yang dikenali sebagai R21, diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet pada Khamis.

Ujian percubaan membabitkan 4,800 kanak-kanak di empat negara Afrika itu menunjukkan vaksin berkenaan mencegah 75 peratus kes malaria dalam kalangan kanak-kanak berusia lingkungan tiga hingga lima tahun, yang mana tiga dos awal diberikan sebelum musim puncak malaria.

Ia mencegah 68 peratus kes di kawasan yang penularan berlaku sepanjang tahun.

Penyiasat berkata, keberkesanan dikekalkan dengan dos penggalak setahun kemudian, walaupun perlindungan kelihatan semakin berkurangan dari semasa ke semasa.

Ujian percubaan masih berlangsung ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 11:52 AM