WAFARIENA Roslan. FOTO arkib NSTP
WAFARIENA Roslan. FOTO arkib NSTP
Norhayati Nordin dan Syafil Syazwan Jefri dan Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Impak watak 'penyondol' atau perampas yang dilakonkan Wafariena Roslan dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2 dan 3 meninggalkan kesan cukup mendalam dalam hidpnya.

Walaupun drama itu sudah tamat tayangannya dua tahun lalu, namun wanita kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang itu masih dilabel sebagai perampas.

"Sehingga saat ini saya masih dicop perampas dan dipanggil dengan nama Nurul Ain, bukan nama sebenar saya.

"Sebagai pelakon, saya hanya menjalankan tanggungjawab untuk bawakan watak yang diberikan sehabis baik. Nurul Ain hanyalah watak ciptaan dan tak wajar disamakan dengan saya.

"Saya lihat ia daripada aspek positif kerana apabila ramai membenci dan diingati sebagai perampas, itu bermakna watak dilakonkan memberi kesan," katanya.

Menurut Wafariena, dia tidak pernah serik melakonkan watak 'penyondol' atau perosak rumah tangga walaupun pernah berdepan dengan pelbagai ugutan menakutkan dan kecaman hebat.

"Saya sudah lali terima kecaman netizen di media sosial, termasuk ada netizen mengugut menyimbah asid ke muka saya.

"Sejujurnya tawaran melakonkan watak perampas masih ada, tapi saya tolak sebab kadangkala terikat dengan penggambaran drama lain. Saya terima saja kalau ada tawaran untuk bawa watak seperti ini lagi.

"Ini kerana saya nak terus cabar diri lakonkan watak berlainan. Alhamdulillah penangan drama 7 Hari Mencintaiku buka pintu rezeki dalam bidang ini," katanya.

Berita berkaitan:

Penyondol resipi 'gam' penonton

'Ramai menyampah tengok saya'

Boleh sakit hati, usah terlalu emosi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 4:18 PM