Noraini (dua dari kanan) menziarahi balu Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi yang terkorban dalam nahas helikopter, Noor Ain Mohamad Ariffin, di kediaman keluarga itu di Taman Lekir Indah, di sini, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Noraini (dua dari kanan) menziarahi balu Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi yang terkorban dalam nahas helikopter, Noor Ain Mohamad Ariffin, di kediaman keluarga itu di Taman Lekir Indah, di sini, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Bantuan sokongan kaunseling kepada waris 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas Selasa lalu, akan diteruskan mengikut keperluan keluarga masing-masing.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kaunselor daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di peringkat daerah sudah digerakkan untuk mendekati dan membantu keluarga waris daripada sudut psikologi.

"Tempoh kaunseling ini bergantung kepada keadaan individu (waris) itu, tapi kita beri masa dulu sebab masing-masing nak bersendirian, bersedih atas apa yang berlaku.

"Kita sedia maklum bahawa mangsa yang terkorban ialah orang yang paling mereka sayang, rapat dengan mereka, ada sesetengahnya tempat keluarga tersebut bergantung harap, tapi kita akan sentiasa ada untuk mendengar dan membantu.

"Saya difahamkan, anakanda Sultan Pahang (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah), iaitu Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan telah membantu waris secara peribadi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa siri ziarah tiga keluarga mangsa nahas helikopter TLDM di kediaman keluarga mendiang Leftenan T Sivasutan, juruterbang unit Skuadron 502 di Taman Serdang Jaya, Sitiawan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Noraini melawat keluarga Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi di Taman Lekir Indah, Batu 12 Lekir, di sini.

Beliau juga menziarahi keluarga Pegawai Waran II TNL Nurfarahimi Mohd Suady di kuarters Pangkalan TLDM Lumut.

Pada sesi ziarah itu, Ahli Parlimen Parit Sulong itu menyerahkan sumbangan RM3,000 melalui Skim Pemberian Ehsan Yayasan Kebajikan Negara, barangan keperluan serta sumbangan peribadi beliau kepada ketiga-tiga waris mangsa terbabit.

Dalam pada itu, Noraini berkata, hasil lawatan beliau menemui tiga keluarga mangsa di Perak, hari ini, mendapati emosi ahli keluarga mangsa masih terkesan dengan pemergian orang tersayang, serta menyifatkan mereka amat kuat menghadapi dugaan itu.

"Saya melihat mereka sangat kuat dan kami bersedia untuk mendengar melalui kaunselor kami di setiap daerah.

"Yang penting, kita nak mereka berkongsi dan apa juga di dalam fikiran mereka.

"Kita galakkan mereka berkongsi dengan kaunselor kami supaya mereka merasakan we are here," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 4:03 PM