.Pengerusi KEDA, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menerima mok cek dividen daripada wakil anak syarikat KEDA, KEDA Holding Sdn.Bhd (KHSB) sebanyak RM100,000. FOTO Noorazura Abdul Rahman
.Pengerusi KEDA, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menerima mok cek dividen daripada wakil anak syarikat KEDA, KEDA Holding Sdn.Bhd (KHSB) sebanyak RM100,000. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) akan membangunkan tanaman padi wangi dan padi huma di beberapa kawasan pertanian dalam wilayahnya pada tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kawasan itu membabitkan tanah terbiar di daerah Baling, Padang Terap dan Sik.

Katanya, ia seiring dengan usaha KEDA untuk memulihkan dan menaik taraf 400 hektar tanah pada tahun ini menerusi peruntukan kerajaan sebanyak RM1.25 juta.

"Projek tanaman rintis pembangunan padi wangi seluas 34.57 hektar dicadangkan di Kampung Weng Dalam, Baling yang dijangka bermula pada September atau Oktober tahun ini dan KEDA sedang mengenalpasti pihak tertentu untuk membimbing peserta yang terbabit.

"KEDA juga berhasrat mempergiat penanaman padi bukit (padi huma) juga di kawasan operasinya. Kini, KEDA mencari peserta yang berminat serta kawasan bersesuaian untuk dibangunkan.

"KEDA juga sedang mencari rakan strategik yang berpengalaman bagi mempermudah proses pelaksanaan projek ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri KEDA di ibu pejabatnya di sini, hari ini.

Jamil Khir berkata, usaha membangunkan tanaman padi wangi dan padi huma itu adalah untuk membantu meningkatkan pendapatan petani memandangkan harga padi beras wangi adalah tinggi berbanding padi beras putih tempatan.

Selain itu, katanya KEDA juga ingin membantu kerajaan dalam menangani isu pengeluaran beras di negeri ini.

"KEDA mengambil tanggungjawab untuk membantu membangunkan kawasan tanah terbiar di luar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Jadi, kita cadang untuk laksanakan di tiga daerah iaitu Baling, Sik dan Padang Terap yang tidak termasuk dalam kawasan MADA.

"Usaha ini juga mungkin membolehkan kita menambah jenis variati beras di pasaran nanti. Harap-harap nanti produk jenama kita ini akan berjaya dan beras wangi KEDA akan menjadi sinonim dengan rakyat di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 1,587 hektar sawah dan tanah terbiar di Kedah sudah dipulihkan dan dinaik taraf menerusi projek ini dan membabitkan peruntukan keseluruhannya RM8.5 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 3:36 PM