Laporan mengenai lelaki mengelar tangan dan menghilang diri ke hutan di laman web, Harian Metro
Laporan mengenai lelaki mengelar tangan dan menghilang diri ke hutan di laman web, Harian Metro
Hanneeyzah Bariah Baharin


PEMBANTU rumah bot yang melarikan diri ke dalam hutan selepas dikatakan mengelar tangannya ditemui selamat berhampiran Jeti Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir, Kuala Berang, hari ini.

Lelaki berusia 21 tahun dari Kampung Temir itu ditemui dalam keadaan lemah dan lapar, tidak berbaju dan hanya berseluar pendek serta tidak memakai selipar, kira-kira 3.25 petang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa ditemui petugas sebuah rumah bot berhampiran kawasan jeti berkenaan.

“Petugas bot berkenaan ternampak mangsa berjalan menuruni bukit di belakang tandas jeti air terjun itu, sebelum bergegas menggunakan bot laju untuk menghampiri lokasi mangsa dilihat.

“Sebaik didekati petugas bot berkenaan, mangsa dalam keadaan lapar dengan beberapa kesan calar pada badan serta lengan, selain kesan luka di siku.

“Lelaki itu kemudian memberi mangsa makan serta menyapu ubat pada luka pada badan dan lengannya,” katanya.

Mohd Adli berkata, selepas lelaki itu kelihatan tenang dan dapat berbual, mangsa kemudian dibawa keluar ke darat dengan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat serta diiringi Angkatan Pertahanan Awam (APM), kira-kira 4.15 petang.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan dan turut dibawa ke balai polis berhampiran untuk ujian air kencing.

Harian Metro hari ini melaporkan, seorang lelaki bertindak luar kawalan apabila mengelar tangannya sebelum melarikan diri ke dalam hutan dekat Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir, dipercayai kerana tertekan berdepan masalah rumah tangga dan berada di bawah pengaruh dadah.

Berita berkaitan

Dah kelar tangan, lari ke hutan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 6:51 PM