ERMA Fatima. FOTO arkib NSTP
ERMA Fatima. FOTO arkib NSTP
Norhayati Nordin dan Syafil Syazwan Jefri dan Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penerbit dan penulis skrip drama bersiri Lelaki Itu yang popular ketika ini, Erma Fatima, 56, mengambil pendekatan tidak 'menghukum' watak-watak dalam drama yang dihasilkannya walaupun watak 'penyondol' atau orang ketiga yang sensitif di mata penonton.

Erma berkata, sebagai pengkarya penting untuk dia bersikap 'neutral' dan adil terhadap watak itu serta tidak boleh terlalu membawa emosi kerana apa yang berlaku dalam kehidupan manusia ini semuanya bersebab.

"Saya tahu, masa sekarang ramai orang terutama wanita beremosi apabila menonton drama memaparkan kisah 'penyondol'. Penonton yang rata-ratanya wanita pasti berasa sakit hati.

"Namun kena ingat apa yang berlaku dan hangat diperkatakan dalam masyarakat itu bersebab. Kita sebagai perempuan dan wanita memang sakit hati, namun kena ingat jangan terlalu beremosi sehingga menghukum.

"Lagipun, siapa kita yang nak menghukum buat mereka (penyondol) hanya kerana rasa sakit hati. Kita tidak duduk di tempat mereka," katanya.

Menurut Erma, perasaan cinta itu sangat indah yang Allah cipta dan hadirkan di dalam hati manusia, tetapi perlu bijak mengawalnya sebab impak cinta yang tidak mampu dikawal boleh buat orang jadi 'buta cinta'.

"Apapun dalam drama saya, mesej ingin disampaikan kepada penonton itu jelas. Malah, saya mahu penonton terima secara rasional, bukan mengikut emosi semata-mata

"Ini kerana, saya tekankan lagi di dalam kehidupan ini semua yang berlaku itu bersebab dan Allah sudah membenarkan ia terjadi," katanya.

Mengulas komen netizen, Erma berkata, dia tidak membaca komen ditulis di media sosial sama ada positif atau negatif kerana naskhah itu adalah hiburan yang ada mesej buat penonton.

Drama Lelaki Itu terbitan syarikat produksinya, Rumah Karya Cinta ketika ini ditayangkan di slot Samarinda TV3, jam 10 malam, sebanyak 30 episod.

Ia membariskan pelakon seperti Datuk Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Nur Fazura, Nabila Huda, Aedy Ashraf, Hannah Delisha, Nadia Brian, Sophia AlBarakbah dan ramai lagi.

Berita berkaitan:

Penyondol resipi 'gam' penonton

'Ramai menyampah tengok saya'

'Sampai sekarang dipanggil Nurul Ain'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 4:11 PM