BANGUNAN lama  masih kukuh selepas dibaik pulih akibat dimusnahkan dalam Perang Dunia Kedua.
BANGUNAN lama masih kukuh selepas dibaik pulih akibat dimusnahkan dalam Perang Dunia Kedua.
Yusri Abdul Malek

(Yang berada di Warsaw, Poland, baru-baru ini)

DIBANGUN semula selepas hancur dibom tentera Nazi Jerman pada 1944 dalam Perang Dunia Kedua, Poland bangkit membina negara mereka seperti yang ada pada hari ini.

Terletak di tengah Eropah, ia berkeluasan 312,679 kilometer persegi dan adalah negara ketujuh terbesar di benua itu.

Penduduk Poland pula adalah seramai lebih 38.5 juta orang. Ibu kotanya ialah Warsaw dengan kepadatan penduduk dua juta orang.

Masa terbaik untuk melawat negara itu adalah antara Mei dan September. Poland adalah murah untuk dikunjungi terutama buat pelancong jika dibandingkan dengan kebanyakan negara lain di Eropah.

Walaupun Poland melalui banyak kemusnahan ketika perang, tetapi negara itu tetap memelihara dan mengekalkan kekayaan budayanya.

Terdapat 14 Tapak Warisan Dunia yang diwartakan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan salah satu yang terkenal ialah Bandar Lama atau Old Town yang menjadi lokasi tumpuan pelancong.

MONUMEN ikan duyung bersenjatakan pedang dan perisai antara kawasan wajib dikunjungi.
MONUMEN ikan duyung bersenjatakan pedang dan perisai antara kawasan wajib dikunjungi.

Bandar Lama paling mengagumkan, sejarahnya bermula sejak 700 tahun lalu.

Penulis berkesempatan melawat bandar raya itu baru-baru ini ketika menghadiri satu forum antarabangsa.

Bangunan-bangunan lama yang ada bukan yang asli kerana ia sudah dimusnahkan hampir 90 peratus dalam perang tetapi sudah dibaik pulih seperti yang asal bagi menjaga sejarah ketamadunan bangsa Poland.

Berdasarkan catatan, pemulihan dibuat itu adalah berdasarkan perincian lukisan Bernardo Bellotto, pelukis kelahiran Vatican yang melukis beberapa bangunan asal sekitar abad ke 18.

Bandar Lama menjadi nadi dan pusat pelancongan dengan dibarisi kafe, gerai jualan cenderamata, gereja, istana, restoran dan muzium.

Kemudahan tram, bas atau grab dengan kadar tambang yang murah menjadikan destinasi ini senang dikunjungi.

Ada penyanyi jalanan dengan gitar mendendangkan lagu popular, malah ada juga remaja dipercayai pelarian Ukraine membawa bendera negara itu menghampiri orang ramai bagi meminta derma.

SEKITAR dataran ikan duyung yang menjadi tumpuan pelancong.
SEKITAR dataran ikan duyung yang menjadi tumpuan pelancong.

Pelbagai ragam manusia boleh diperhatikan sambil masuk ke kedai cenderamata yang menawarkan pelbagai pilihan pada harga munasabah.

Kebanyakan rakyatnya berbahasa Polish tetapi ramai juga yang boleh berbahasa Inggeris, jadi masalah komunikasi tidak menjadi halangan.

Kalau ada masalah, guna saja aplikasi bahasa dalam telefon pintar untuk berkomunikasi. Satu lagi, nasihat penulis, jangan lupa membawa botol air kecil 500 mililiter (ml), bukan apa senang untuk digunakan untuk ke tandas terutama jika perut memulas.

Namun, perlu hati-hati jika membuat tukaran wang asing di premis tukaran wang atau kantor terutama untuk Euro atau USD ke Poland Zloty (mata wang tempatan) kerana kadar ditawarkan sangat rendah.

Kadar tukaran pula hampir sama dengan Ringgit Malaysia. Jadi tidak terasa sangat jika membeli-belah atau menjamu selera.

Lebih baik kalau mahu membeli atau menggunakan perkhidmatan atau makan, guna saja kad kredit. Untuk makan, banyak juga restoran halal terutama dari negara timur tengah tetapi untuk selera macam di negara sendiri, kena tahan sajalah sehingga pulang semula ke tanah air.

ISTANA lama yang masih kukuh.
ISTANA lama yang masih kukuh.

PENGUNJUNG dari serata dunia melawat kawasan bersejarah.
PENGUNJUNG dari serata dunia melawat kawasan bersejarah.

Suasana nyaman yang tidak panas menjadikan pelancong terutama dari negara tiada empat musim berasa begitu selesa. Ketika kunjungan ini, siang adalah panjang berbanding malam. Kalau berpuasa, tempoh berbuka lebih 16 jam.

Paling menarik di Bandar Lama selain bangunan lama dan bersejarah ialah satu monumen terkenal iaitu patung ikan duyung atau Mermaid Warsaw dan menjadi simbol bandar Warsaw.

Ada banyak lagi patung atau monumen yang berwajah duyung di sekitar negara ini.

Menariknya, ikan duyung itu adalah satu-satunya yang membawa pedang dan perisai.

Berdasar mitos, cerita bermula berabad lalu apabila ikan duyung itu memutuskan untuk tinggal berhampiran Bandar Lama dan kemunculannya itu menyebabkan tangkapan berkurangan kerana duyung berkenaan melepaskan semua ikan yang terperangkap oleh jaring. Malah, mengikut cerita sama, duyung itu bersuara lunak bila menyanyi.

KEDAI cenderamata menyediakan pelbagai pilihan pada harga munasabah.
KEDAI cenderamata menyediakan pelbagai pilihan pada harga munasabah.

Berikutan itu, seorang pedagang kaya berjaya menangkap dan memenjarakannya tetapi ia berjaya dibebaskan oleh nelayan yang simpati apabila setiap malam mereka mendengar ikan terbabit menangis.

Sejak itu ikan duyung bersenjatakan pedang dan perisai dijadikan simbol negara.

Di Warsaw, juga terdapat Istana Budaya dan Sains yang gah serta menjadi ikon moden bandar itu.

Bangunan setinggi lebih 230 meter itu boleh dilihat dari hampir setiap sudut dan pelancong pasti menyedari kewujudan bangunan ini.

Dek pemerhatian di tingkat 30 bangunan menawarkan panorama Warsaw yang mengagumkan, termasuk beberapa bangunan pencakar langit baharu di kedua-dua tebing Sungai Vistula.

Banyak lagi kawasan menarik yang boleh diterokai, ambil peluang pada musim panas ini untuk menjejaki negara tua yang penuh dengan nostalgia sejarah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 7:00 AM