ABDULLAH bersama seorang teman di pintu masuk turut terdapat paparan koordinat.
ABDULLAH bersama seorang teman di pintu masuk turut terdapat paparan koordinat.
Nurul Husna Mahmud

Sebut sahaja apa yang ada di Temerloh, Pahang pasti ramai mengaitkannya dengan Bandar Ikan Patin atau juadah popular iaitu tempoyak ikan patin.

Terkini terikan terbaru mengenai daerah itu ialah kedudukan titik tengah Semenanjung yang terletak di Kampung Paya Siput, Lanchang.

Sebelum titik itu ditemui di lokasi berkenaan, terdapat perdebatan dalam kalangan ahli akademik mengenai titik koordinat paling signifikan bagi kedudukan istimewa terbabit termasuklah pernah menamakan dua lokasi lain iaitu Kampung Belimbing di Lipis dan Kampung Kertau di Maran.

Namun, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) melakukan pelbagai kaedah termasuklah kaedah topografi, kiraan jisim dan matematik sehingga menemukan kedudukan Kampung Paya Siput dikatakan paling tepat sebagai titik tengah Semenanjung Koordinasi.

Kesan kepada kedudukan itu menjadikan destinasi Titik Tengah Semenanjung sebagai produk pelancongan baru diketengahkan pihak Majlis Daerah Temerloh apabila mendirikan monumen selain melantik operator tempatan.

Menurut Operator Titik Tengah Semenanjung Abdullah Ahmad Mahmud, keluasan tarikan baru meliputi 1.62 hektar dan sesuai bagi mereka yang gemar merakam gambar kerana terdapat beberapa sudut khas dirias bagi tujuan itu.

"Pembangunan destinasi Titik Tengah Semenanjung itu dibina sebagai salah satu usaha kerajaan dalam agenda Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sekali gus mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan bagi penduduk tempatan.

"Saya mengambil alih atas lantikan pihak majlis dan Pelancongan Negeri Pahang yang mahu saya komersialkan atau majukan kawasan ini sebagai destinasi pelancongan.

MERCU monumen titik tengah dengan lima batang buluh mengadap arah kiblat mewakili rukun Islam.
MERCU monumen titik tengah dengan lima batang buluh mengadap arah kiblat mewakili rukun Islam.

"Malah saya mula bawa beberapa fasiliti dan produk yang bersesuaian bagi memenuhi jangkaan pelancong yang mahu mengunjungi lokasi terbabit," katanya.

Tambah Abdullah lagi, beliau turut mewujudkan taman haiwan selain menaik taraf kemudahan termasuk membawa basikal air bagi nilai tambah kepada aktiviti di pusat berkenaan.

"Paling orang teruja pastinya kewujudan monumen beserta dengan perincian lain terdapat pada mercu tanda itu seperti jarak destinasi ini dengan lain-lain bandar atau negeri di Semenanjung Malaysia.

"Mercu monumen itu yang dicondongkan menghala ke arah kiblat dengan pacakan lima batang buluh menandakan rukun Islam," katanya.

Kata Abdullah, dalam mempelbagaikan aktiviti pengunjung yang singgah ke lokasi terbabit, mereka boleh menyewa basikal air bagi mengelilingi tasik yang terdapat di tengah-tengah taman monumen itu.

"Lokasi ini terletak tidak jauh dari Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Santuari Rusa di Bukit Rengit selain Lembah Hijau.

"Sebelum mereka pergi ke lokasi berkenaan, boleh beriadah dahulu di Titik Tengah Semenanjung dan menikmati pemandangan landskap serta bergambar dengan titik koordinat 03 29 33U / 102 13 10T," katanya.

Bagi anda yang berhasrat mengunjungi destinasi itu disarankan mengenakan alas kepala atau payung kerana ia kawasan terbuka.

KEMUDAHAN basikal air untuk pengunjung bersantai di tasik.
KEMUDAHAN basikal air untuk pengunjung bersantai di tasik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 6:43 AM