LUKISAN semburan Shieakh Malik ditagih penunggang ingin bergaya.
LUKISAN semburan Shieakh Malik ditagih penunggang ingin bergaya.
Nurul Husna Mahmud


Menggunakan cat semburan berkualiti tinggi untuk menghasilkan imej unik pada topi keledar adalah kelainan ditampilkan butik dalam talian Airbrush_bisnes.

Sentuhan artistik pengasasnya, Shieakh Malik Shieakh Ali membuatkan topi keledar kosong bertukar aksesori menarik ketika menunggang motosikal.

Menurut Malik, dia mendapat idea untuk melukis pada topi keledar menerusi laman sosial, YouTube.

“Saya lakukan pada asalnya sebagai hobi, kemudian mendapat maklum balas memberangsangkan lalu saya tawarkan kepada yang berminat. Tidak sangka, lama-kelamaan ramai penunggang yang mahukan kelainan pada topi keledar mereka mula menghantarnya untuk dilukis.

“Ada rekaan sudah siap (rekaan sendiri) dan ada juga pelanggan membuat permintaan agar topi mereka dilukiskan rekaan diingini.

“Rekaan paling mendapat sambutan atau popular ialah helang. Sebenarnya perincian itu ialah kepala helang sebagai tema utama.

“Rasanya ia sesuai kerana kelihatan ranggi dan menonjol terutama ketika menunggang motosikal,” katanya.

Kata Malik, bayaran dikenakan bagi melukis satu topi keledar dari pada RM180 hingga RM500 mengikut jenis cat dan rekaan.

Bagi yang ingin mendapatkan khidmat unik ini boleh melayari laman Instagram @Airbrush_bisnes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 5:01 AM