Kisah Balan ditahan polis yang meminati motosikalnya antara yang hangat diperkatakan di laman sosial sejak Sabtu lalu. FOTO ihsan Balan
Kisah Balan ditahan polis yang meminati motosikalnya antara yang hangat diperkatakan di laman sosial sejak Sabtu lalu. FOTO ihsan Balan
Asrizal Aris


 

"HARGA tinggi macam mana pun, saya tidak akan jual sebab motor ini buat saya terkenal," kata Balan Maniam, 50, pemilik motosikal Yamaha RD125LC tahun 1983 yang tular di laman sosial selepas ditahan oleh dua anggota polis yang hanya mahu melihat motosikalnya itu.

Balan berkata, dalam kejadian Sabtu lalu, anggota polis berkenaan hanya bertanyakan keadaan serta harga motosikal itu dan bukan untuk memberi saman.

Katanya, kejadian bermula selepas dia mengisi minyak motosikal di stesen minyak di Sungai Buloh dan menyedari terdapat sebuah kereta peronda polis berada di kawasan berdekatan.

"Lebih kurang 1.5 kilometer selepas meninggalkan stesen minyak itu, kereta peronda itu membunyikan siren dan hon meminta saya berhenti di tepi lebuh raya, lalu saya menuruti arahan itu tanpa memikirkan apa-apa kesalahan.

"Apabila anggota itu mendekati saya, rupanya mereka hanya mahu bermesra dan menyatakan minat mereka terhadap motosikal yang saya tunggang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, anak lelakinya, Haresh, 9, yang pada mulanya berdebar selepas diarahkan polis untuk berhenti menjadi gembira apabila menerima layanan baik daripada dua anggota polis yang peramah itu.

"Saya membeli motosikal itu pada 1986 dengan harga RM16,000 dan berhabis lebih kurang RM12,000 untuk penyelenggaraan supaya dalam keadaan baik sehingga kini.

"Ramai yang meletak harga untuk dijual, tapi saya tidak akan jual walaupun ditawar dengan harga tinggi kerana motosikal ini adalah kenangan bermakna dan saya akan wariskan kepada anak apabila saya sudah tiada nanti," katanya.

Menurutnya, selain mempunyai dua lagi motosikal klasik yang dibeli tahun lalu, dia juga memiliki dua topi keledar 'rare' yang dipakai ketika ditahan oleh dua anggota polis dalam kejadian Sabtu lalu itu.

Katanya, topi keledar jenis Magnum 3 tahun 1975 yang dipakainya itu dibeli dengan harga RM5,000 manakala topi keledar yang dipakai anaknya jenis Magnum 2 berharga RM3,000.

"Anggota polis itu pun berminat untuk melihat keistimewaan topi keledar yang kami pakai kerana topi keledar itu adalah edisi terhad yang tidak boleh didapati sejak lebih 20 tahun lalu yang kini harganya mencecah sekitar RM8,000 setiap satu.

"Tetapi baik motor, ataupun topi keledar, saya tidak akan jual sebab perkara inilah yang membuat saya terkenal dalam kumpulan motosikal klasik," katanya yang aktif menyertai jelajah atau konvoi motosikal klasik di seluruh negara.

Menurut Balan, dia dikenali dalam kalangan penunggang motosikal legenda itu kerana satu-satunya penunggang RD125LC dan RXS dalam kumpulan itu yang berbangsa India.

"Saya dikelilingi dengan rakan Melayu kebiasaannya. Mereka menghormati saya dan apabila ada konvoi, saya sudah biasa dengan cara mereka serta tiada masalah dengan perkara itu," kata bapa dua orang anak itu.

Sabtu lalu, Balan memuat naik kisahnya yang ditahan oleh dua anggota polis hanya kerana mahu melihat motosikalnya di Facebook dan mendapat lebih 4,000 perkongsian serta menerima pelbagai reaksi netizen.

Sementara itu, anggota polis yang mahu dikenali sebagai Lans Koperal Hisham berkata, dia sedang meronda bersama rakannya lalu terdetik untuk bertemu Balan selepas kedua-duanya tertarik melihat motosikal yang ditunggang.

Katanya, Balan memberi kerjasama apabila diminta untuk berhenti di tepi lebuh raya dan memberi maklum balas yang baik.

"Minat kami pada motor itu boleh tahanlah. Kami minta penunggang itu untuk berhenti sebab sudah lama sangat tidak melihat jentera jenis itu atas jalan raya dan mahu melihat secara depan-depan.

"Saya tidak pernah memiliki pun motor jenis itu tapi memang suka tengok. Nak beli memang tidak mampu sebab harga motor itu kini sangat mahal kerana barang 'rare'," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dia hanya melihat motosikal jenis itu dalam keadaan sudah tersadai dan tidak boleh digunakan menyebabkan dia berminat untuk melihat kondisi motosikal dimiliki Balan secara dekat apabila ia masih gagah di jalan raya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 10:37 PM