PELBAGAI model dan warna.
PELBAGAI model dan warna.
Lizam Ridzuan


Lebih 1,000 peminat Vespa menyerbu ke negeri Perak baru-baru ini sempena acara Vespa Days Kuala Kangsar yang diadakan di Usas Resort.

Ia adalah penganjuran kali ke-18 oleh Kelab Vespa Malaysia (VCM) dan Kelab Vespa Kuala Kangsar kekal meriah seperti sebelumnya.

Membabitkan pemilik Vespa generasi baharu dan klasik, kesemua mereka datang dari serata negara untuk sama-sama berhimpun bagi acara tahunan ini.

Naib Pengerusi VCM, Mohd Haniff Mohd Amin, 40, berkata acara ini adalah kesinambungan daripada Karnival Vespa Kuala Kangsar yang diadakan sejak tahun 2000 lagi.

"Kami berterima kasih kepada penganjur utama iaitu Kelab Vespa Kuala Kangsar yang juga sub ordinan VCM kerana berjaya mengendalikan acara ini yang dinaungi oleh Halim Daud yang mana kali terakhir diadakan pada 2020 yang terus menjadi acara pilihan buat peminat Vespa di Malaysia," katanya.

LEBIH 1,000 pemilik Vespa berkumpul di Kuala Kangsar baru-baru ini.
LEBIH 1,000 pemilik Vespa berkumpul di Kuala Kangsar baru-baru ini.

Selain penganjuran acara, VCM juga mengambil kesempatan itu mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) kali ke-2 kelab bagi memilih kepimpinan baharu selain berbincang tentang perancangan dan hala tuju mereka pada masa hadapan.

Selain pelbagai reruai jualan baju dan alat ganti Vespa, juga diadakan acara menarik seperti tunggang uji model skuter terkini, pertandingan vespa cantik dengan pelbagai kategori yang dipertandingkan.

Antaranya Vespa VBA/VBB/GS Asal Tercantik, SS/Rally200/Small Frame Tercantik, Super/Sprint/Sprint V Asal Tercantik, Vespa Ubahsuai/Klepek Cantik dan Kreatif serta banyak lagi.

Turut diadakan pertandingan Lambretta Tercantik dan Lambretta Asal Tercantik sebagai antara tarikan utama acara kali ini yang mana model ini dikategorikan sebagai rakan jenama Vespa pada zamannya.

ANTARA model Vespa yang dipamerkan.
ANTARA model Vespa yang dipamerkan.

Terdapat beberapa kriteria yang ditetapkan bagi pemilihan Vespa terbaik yang diadili oleh 'otai-otai' Vespa Perak.

Seterusnya diadakan "Sunset Ride To Victoria" membabitkan lebih 50 pemilik Vespa bergambar kenangan di Jambatan Victoria yang berusia 117 tahun sebagai salah satu lokasi menarik untuk dikunjungi di sana.

Pada sebelah malam pula diadakan sesi ramah mesra 'Bual Vespa' daripada dua wakil grup pemilik skuter Indonesia dan Filipina yang membincangkan pengalaman menunggang Vespa di negara masing-masing.

Acara selama dua hari itu berlangsung dengan lancar, yang mengumpulkan pemilik-pemilik Vespa sama ada moden atau klasik dalam satu acara.

Jentera skuter dari Tuscany, Itali itu mempunyai sejarah 77 tahun yang panjang dan unik dengan elemen gaya hidup yang menarik juga sebagai mobiliti utama pilihan ramai satu ketika dahulu.

AGM Kelab Vespa Malaysia.
AGM Kelab Vespa Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 6:42 AM