Lizam Ridzuan dan Ekhwan Haque Fazlul


KUALA LUMPUR: Pada 2002, Husainy Amir Zulkiply, 34, yang juga pemilik syarikat Vespa Empire membeli seunit vespa model Sprint pada harga RM80.

Dan kini, peminat Vespa berkenaan memaklumkan harga pasaran bagi model Sprint itu ialah RM11,000.

"Saya ada dua lagi Vespa klasik buatan Itali membabitkan model VBB yang dibeli pada harga RM2,000. Kos restorasinya ialah RM6,000 dan harga pasarannya pula RM15,000

"Bagi model PX150 pula, saya beli pada harga RM4,000, kos restorasi pula RM8,000 dan harga pasaran ialah RM12,000," katanya.

Menurut Husainy Amir, bagi peminat Vespa buatan Piaggio, Itali, harga itu munasabah memandangkan sukar untuk mendapatkan jentera klasik berkenaan ketika ini.

Bukan itu saja, katanya, kos RM9,000 hingga RM25,000 bagi proses restorasi atau penambah baikan Vespa klasik juga bukan satu masalah buat peminat jentera klasik berkenaan.

Menurutnya, kos berkenaan juga bergantung kepada kehendak pelanggan.

"Citarasa pelanggan berbeza-beza, ada yang mahukan enjin berprestasi, ada yang mahu aksesori penuh seperti lampu sorot, rak dan ada yang sekadar mahu restorasi atau baik pulih biasa.

"Pemilik muda pula mahukan Vespa mereka lebih prestasi selain mampu mencapai kelajuan sehingga 180 kilometer/sejam (kmj), penambahan atau baik pulih pada bahagian enjin ini menelan kos RM4,000 hingga RM10,000," katanya.

Guru, Kamaruzaman Naseah, 48, pula memiliki lima Vespa membabitkan model iaitu Super, PS dan Corsa.

"Saya jatuh cinta dengan Vespa pada 2003 dan jentera pertama dibeli pada harga RM700.

"Saya kemudiannya mula membeli Vespa lain pada harga RM1,500 hingga RM2,000," katanya yang dikurniakan lima anak.

Menurut Kamaruzaman, dia kemudiannya melakukan restorasi pada Vespa berkenaan dan menghabiskan RM3,500 hingga RM4,000 bagi setiap sebuah.

"Ada yang menawarkan RM6,500 untuk membeli satu daripada Vespa saya namun saya tidak menjualnya.

"Memang banyak belanja dikeluarkan untuk menjaga Vespa namun saya puas dengan hobi ini. Hanya peminat Vespa saja yang tahu menilai hobi ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Vespa Club Malaysia (VCM) Mohd Haniff Mohd Amin, 36, berkata, Vespa mula menjadi ikutan sekali lagi pada 1998 dengan golongan muda mengetengahkan gaya hidup menunggang jentera berkenaan.

"Peminat Vespa di Malaysia terbahagi kepada tiga golongan iaitu mobiliti, mod klasik dan prestasi. Kos restorasi atau baik pulih pula bergantung kepada ke arah mana minat mereka.

"Ketika ini, kos permulaan untuk mendapatkan sebuah Vespa klasik bermula daripada RM5,000 ke atas. Ia bergantung kepada model, tahun pembuatan dan boleh diperoleh melalui laman jual beli dalam talian atau kenalan," katanya.

ANTARA koleksi Vespa yang dimiliki ahli Vespa Club Malaysia.
ANTARA koleksi Vespa yang dimiliki ahli Vespa Club Malaysia.

Mohd Haniff turut memiliki tiga Vespa iaitu GT60 (moden), T5 200 (1992) dan model Rally buatan tahun 1975.

Model Rally ini dalam proses restorasi dan dibeli pada harga RM12,000.

Malah, model GT60 yang dibelinya pada harga RM20,000 turut menjadi buruan ramai kerana hanya ada satu unit sahaja di negara ini yang dikeluarkan bersempena ulang tahun Vespa ke-60.

"Purata usia ahli kelab VCM pula daripada 18 sehingga 70 tahun," katanya.

ANTARA kenderaan klasik yang diubah suai Hamizan yang boleh dijual dengan harga tinggi.
ANTARA kenderaan klasik yang diubah suai Hamizan yang boleh dijual dengan harga tinggi.

Ubah suai 'besi tersadai', jual RM35,000

SHAH ALAM: Kenderaan yang sebelum ini hanya tersadai dan dianggap besi karat kini mampu dijual pada harga puluhan ribu ringgit selepas diubah suai.

Model dari Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah sekitar tahun 1950-an hingga 1980-an kini semakin diminati bukan hanya oleh 'orang lama', malah generasi muda.

Toyota AE86, Toyata Starlet dan Datsun Hakosuka antara beberapa model yang masih kekal relevan menyusuri jalan raya.

Pengumpul kenderaan lama, Hamizan Mohamed Selamat, 46, berkata, dia aktif dengan hobi mengubah suai kenderaan lama sejak 2015.

Katanya, ia bukan hanya sekadar minat malah dilihat sebagai satu daripada peluang menjana pendapatan.

Menurutnya, permintaan peminat kenderaan lama kini semakin meningkat dan sebahagian besar mereka tidak kisah jika perlu melabur bagi mendapatkan kenderaan diminati walaupun pada harga tinggi.

"Pada mulanya, minat saya mengumpul knderaan lama hanya sekadar suka-suka.

"Saya akan baiki bahagian luar dan enjin kerana minat mendalam terhadap kenderaan lama, khususnya model dihasilkan sekitar 60-an.

"Bagi saya, kenderaan pada era itu dihasilkan dengan 'jiwa' kerana seni reka luaran dan dalaman yang malar segar berbanding kenderaan kini yang lebih moden," katanya.

Menurut Hamizan, dia pernah membeli sebuah pikap Datsun GB110 pada harga RM4,000 pada 2015 sebelum dijual pada seorang individu pada harga RM35,000.

Katanya, dengan menggunakan khidmat rakan, dia berjaya membaiki struktur luaran pikap yang sudah berkarat bertukar menjadi lebih segar selain membaiki semula enjin.

"Tiada masalah untuk membaiki badan kenderaan kerana ia hanya perlu diketuk dan dicat supaya nampak kemas.

"Namun, banyak masa perlu diluangkan untuk membaiki enjin kerana kebanyakan alat ganti tidak dijual di Malaysia dan perlu ditempah dari luar negara.

"Bagi peminat, mereka lebih gemar mengekalkan reka bentuk dan enjin asal kenderaan kerana ia lebih asli berbanding melakukan ubah suai melampau," katanya.

Menurutnya, dia puas jika kenderaan yang dibeli dalam keadaan usang dan berkarat berjaya dibaik pulih seterusnya berfungsi dengan baik.

"Ini bukan sekadar hobi semata-mata kerana pasaran kenderaan lama masih kekal relevan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 6:40 AM