CIRI Vespa prestasi.
CIRI Vespa prestasi.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


PENGENALAN Vespa GTS 300 HPE Super Tech dengan ciri prestasi dan teknologi pintar ke pasaran tempatan baru-baru ini, menambah 'kemeriahan' pasaran skuter.

Menambah pilihan rangkaian varian Vespa GTS, ia adalah kesinambungan daripada model Vespa 'big body' yang mula dihasilkan pada 1977 melalui model PX.

Menurut maklumat pengedar utamanya, Didi Resources, 50 unit pertama yang dibawa masuk sudah habis ditempah dan pembeli seterusnya perlu menunggu sehingga awal tahun hadapan untuk mendapatkan model ini.

Ia menarik perhatian ramai melalui rekaan gaya moden klasik dengan ciri perisai hadapan dan pelindung hon yang dipertingkatkan serta 'mud guard' dengan dengan 'crest' krom'.

Jentera ini dilengkapi lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED.

Susur aliran udara sisi dengan motif 'sarang lebah' menjadikan ia tampil sporty.

PANEL meter TFT ketersambungan telefon pintar.
PANEL meter TFT ketersambungan telefon pintar.

Ciri astetika ditambah dengan roda kemasan hitam dan sentuhan perekat kuning pada beberapa bahagian adalah elemen standard untuk dua pilihan warna model ini iaitu Hitam Volcano dan Kelabu Materia.

Malah tempat duduk juga dilengkapi perincian bermutu tinggi dengan jahitan dua warna untuk lebih premium selain kekal fungsi utamanya iaitu selesa.

Meter TFT serba moden bersaiz 4.3 inci menampilkan elemen teknologi tinggi dengan paparan speedometer, perbatuan, suhu dan tahap bahan api.

RUANG simpanan.
RUANG simpanan.

Ia boleh disambungkan ke telefon pintar melalui Bluetooth dengan aplikasi MIA untuk fungsi tambahan seperti navigasi, menjawab panggilan telefon, mendengar muzik, maklumat pusat servis berhampiran, membaca mesej dan banyak lagi.

Semua fungsi ini boleh dipilih dengan mudah melalui 'joystick' yang praktikal pada sebelah kiri bar pemegang.

JOYSTICK untuk larasan dan fungsi pada meter TFT.
JOYSTICK untuk larasan dan fungsi pada meter TFT.

Untuk prestasi, ia dijana dengan enjin 278.3cc sejukan cecair yang menjana kuasa 23HP pada 8,250 rpm dan tork 26Nm pada 5,250 rpm dengan transmisi automatik CVT serta tali sawat lasak dan material yang direka untuk mengurangkan geseran dan bunyi.

Ia dikawal menerusi ECU Magneti Marelli MIUG4 untuk tenaga dan bahan api lebih efisien yang menepati penarafan tahap Euro 5 serta kelajuan maksimum sehingga 120 kilometer/sejam (km/j).

Untuk sistem keselamatan, ia antaranya dilengkapi dua brek cakera bersaiz 12 inci dengan sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

REKAAN perisai hadapan dan sisi diperbaharui.
REKAAN perisai hadapan dan sisi diperbaharui.

Tangki bahan api 8.5 liter, ruang simpanan bawah tempat duduk yang mampu memuatkan dua topi keledar demi-jet, pengecas USB dalam kotak simpanan (glove box) antara kemudahan ada pada skuter versi import sepenuhnya (CBU) dari Vietnam ini.

Untuk pasaran Malaysia, Vespa GTS 300 HPE Super Tech dijual pada harga RM33,300 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000km yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 6:46 AM