Lizam Ridzuan

Keunikan skuter ini terus merentasi zaman. Sepanjang 75 tahun ini, ia banyak dikaitkan dengan gaya hidup dan fesyen sejak dikeluarkan pada 1946 di Florence, Itali.

Meneruskan lagi legasinya, Vespa GTS 300 HPE Super Tech diperkenalkan ke pasaran tempatan tahun lalu.

Vroom menunggang ujinya baru-baru ini untuk merasai elemen 'pintar' yang ditawarkan dan prestasinya.

Vespa GTS adalah varian yang ditawarkan daripada siri 'large body frame' yang mula dihasilkan pada 1977 melalui model PX.

Meskipun nampak seakan-akan model Vespa lain hasil DNA yang sama, ia lebih besar daripada segi saiz dan enjin.

Rekaannya mengekalkan ciri klasik moden dengan kemasan yang diperbaharui pada perisai hadapan. 'Front tie' pula diberi sentuhan warna kuning yang turut terdapat pada beberapa bahagian lain.

KEMASAN hadapan diperbaharui.
KEMASAN hadapan diperbaharui.

Lampu hadapan bulat dengan lampu nyalaan siang (DRL) antara ciri moden yang dilengkapi pada model ini. Ia termasuk pada lampu belakang dan membelok, semuanya kini dengan LED.

Pada bahagian tepi pelindung hadapan, terdapat salur aliran udara radiator dengan corak 'sarang lebah'.

Cermin sisi bulat dengan krom menyerlahkan gaya retro. Pelana juga direka baharu untuk lebih selesa pada perjalanan jauh. Ia juga diberi sentuhan jahitan kuning untuk padanan eksklusif pada model ini.

METER TFT digital penuh.
METER TFT digital penuh.

Rim aloinya bersaiz 12 inci dan warna hitamnya menambah elemen sporty selain lebih garang. Bukan itu saja, ia dilengkapi kemasan pelekat kuning dan kelabu.

Meter adalah ciri paling utama model ini kerana ia adalah digital penuh. Ia yang pertama untuk model Vespa di negara ini yang dilengkapi dengan ciri-ciri moden.

Meter TFT bersaiz 4.3 inci bukan sahaja dilengkapi maklumat perjalanan yang diperlukan malah boleh disambungkan ke telefon pintar.

Ia boleh dilaras menggunakan 'joystick' yang praktikal pada sebelah kiri bar pemegang.

Untuk Bluetooh, menerusi aplikasi Vespa MIA, ia menyediakan kemudahan antaranya navigasi, menjawab panggilan telefon, mendengar muzik, maklumat pusat servis berhampiran, notis SMS dan aplikasi WhatsApp.

SUSPENSI tunggal dan brek cakera ABS.
SUSPENSI tunggal dan brek cakera ABS.

Penulis mencubanya dan ia mudah untuk disambung, aplikasi ini turut memaparkan maklumat lain seperti odometer motosikal, jarak yang dilalui pada tempoh tertentu dan purata jarak penggunaan bahan api.

Malah ia juga memaparkan statistik perjalanan yang sangat terperinci merangkumi masa, jarak, kelajuan dan rpm dengan lokasi dilalui yang boleh dilihat menerusi telefon.

Seterusnya, untuk prestasi, ia dijana 278.3cc enjin berprestasi tinggi (HPE) baharu, sejukan cecair silinder tunggal yang menjana 23 kuasa kuda (hp) pada 8,250rpm dan tork 26Nm pada 5,250rpm.

Ia peningkatan 12 peratus kuasa dan 18 peratus tork daripada enjin terdahulu dengan bahagian komponen dalaman seperti kepala silinder dan injap ekzos dan kemasukan juga diperbaharui.

Sesuai sebagai skuter, ia dilengkapi dengan transmisi automatik CVT serta tali sawat lasak dan material yang direka untuk mengurangkan geseran dan bunyi.

HPE ini dikawal menerusi ECU Magneti Marelli MIUG4 untuk tenaga dan bahan api lebih efisien yang juga menepati penarafan tahap Euro 5.

Untuk sistem keselamatan, ia dilengkapi dengan dua brek cakera bersaiz

220mm dengan sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran hadapan dan belakang dan kawalan cengkaman elektronik (ASR).

Meskipun kuasa 300cc, kelajuan maksimum Vespa 300 HPE Super Tech ini 125 kilometer/sejam (km/j) sahaja dan sebaik mencapai kelajuan itu, enjin akan mula untuk 'cut-off' untuk kekal pada kelajuan sama.

SALIRAN udara radiator corak sarang lebah.
SALIRAN udara radiator corak sarang lebah.

Posisi menunggang pula santai dan sesuai untuk penulis yang berketinggian 176 sentimeter (sm). Bukan itu saja malah penulis mudah meletakkan kaki di jalanan dengan kedudukan pelana pada 790 milimeter (mm).

Untuk pemanduan dalam bandar, ia juga sangat mudah dan lincah dengan pengendalian yang ringkas dan stabil selain selesa untuk tunggangan jarak jauh.

Tangki bahan api 8.5 liter mencatatkan keupayaan jarak sekitar 200km dengan satu isian penuh bergantung kepada muatan dan gaya tunggangan.

Ruang simpanan bawah tempat duduk boleh memuatkan topi keledar demi-jet.

Pengecas USB dan kotak alatan pula terdapat dalam kotak simpanan (glove box), ia antara kemudahan yang terdapat pada skuter versi import sepenuhnya (CBU) dari Vietnam ini.

Secara keseluruhan, Vespa GTS 300 HPE Super Tech ini menampilkan ciri-ciri maju untuk skuter selain kekal gaya klasik moden dan premium.

Ciri astetika perekat warna kuning pada beberapa bahagian termasuk penyerap hentakan tunggal hadapan adalah elemen standard untuk dua pilihan warna pada model ini iaitu Hitam Volcano Met dan Kelabu Materia Pastel.

KERANGKA daripada ‘big body’
KERANGKA daripada ‘big body’

Model ini dilengkapi penghidup kunci disertakan alat kawalan jauh untuk membuka pelana serta sistem pencari motosikal (bike finder) jika dalam kawasan parkir yang luas.

Aksesori yang terdapat pada model ini seperti kotak simpanan belakang, besi rak, besi pelindung kemalangan manakala permaidani pelantar kaki pula sebagai pilihan.

Meskipun ia model premium, menurut pengedar utamanya, Didi Reso

urces, model GTS 300 sering laris dan ada kalanya terjual sepenuhnya sebelum ia sempat dilancarkan.

Untuk pasaran Malaysia, Vespa GTS 300 HPE Super Tech dijual pada harga RM33,300 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar dua tahun atau 20,000km yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 6:44 AM