Muhamaad Razis Ismail


KAJIAN mendapati hobi yang sihat mampu mengurangkan tahap kemurungan, meningkatkan perasaan positif dan mengoptimakan tahap kesihatan fizikal.

Lebih membahagiakan apabila pasangan suami isteri berkongsi hobi sama sekali gus dapat mengeratkan hubungan.

Namun ramai yang beranggapan terutama wanita, apabila berkahwin mereka terpaksa melupakan hobi ketika masih bujang untuk memberi tumpuan kepada keluarga.

Bagi seorang usahawan, Siti Zakirah Ghazali, 31, atau lebih dikenali sebagai Mcyah Joanjett, hobi menunggang vespa yang dikongsikan dengan suaminya Mohd Khairul Hafitz Marimi, 33, menjadi pengerat hubungan mereka.

Malah, bibit perkenalan mereka sehingga ke jinjang pelamin bermula ketika menyertai program kelab vespa.

Menceritakan lebih lanjut mengenai hobi uniknya itu, ibu kepada lima anak ini berkata, minat terhadap vespa bermula sejak dari bangku sekolah.

Katanya, bagaimanapun minatnya itu tidak direstui ayahnya kerana bimbangkan keselamatannya kerana motosikal jenis itu dilihat sukar dikendalikan wanita.

"Selepas menamatkan persekolahan, saya bertekad untuk membeli vespa namun terpaksa dipendamkan kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi.

"Pada tahun 2008, impian saya tercapai, apabila rakan bersetuju menjual vespa jenis PX150 miliknya secara ansuran," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

TURUT meluangkan masa dengan anak.
TURUT meluangkan masa dengan anak.

Wanita berasal dari Besut, Terengganu ini berkata, pada awalnya ramai yang menganggap hobi menunggang vespa ini pelik kerana agak jarang melihat perempuan meminati motosikal berkenaan apatah lagi memiliki dan menunggangnya.

"Bagaimanapun saya berjaya buktikan bahawa hobi saya ini tiada yang pelik kerana masih boleh kekalkan imej seorang wanita. Saya juga dapat belajar banyak perkara termasuk membaiki dan mengenali alat ganti yang diperlukan.

"Kini, saya lihat masyarakat sudah boleh menerimanya dengan hati yang terbuka," katanya.

Katanya, pada 2009, dia sering menyertai konvoi dan program vespa sehingga mengenali suami yang turut aktif menyertai aktiviti yang dianjurkan kelab-kelab vespa.

"Saya berkawan dengannya kerana dia selalu membantu membaiki vespa saya sekiranya rosak.

"Selepas dua tahun berkenalan, pada 2011 kami bertunang dengan majlisnya bertemakan vespa. Setahun kemudian, kami bergelar suami isteri dengan tema kenderaan klasik pula," katanya.

Tambahnya, selepas berkahwin dia dan suami tetap meneruskan hobi itu bersama-sama sebagai pengerat hubungan.

AKTIF menyertai aktiviti konvoi bersama suami dan rakan
AKTIF menyertai aktiviti konvoi bersama suami dan rakan

"Saya dan suami ibarat kawan. Apabila ingin 'berbahas' mengenai vespa, suami akan ajak saya keluar melepak sambil minum kopi. Kami akan luangkan lebih banyak masa bersama kerana suami tak perlukan orang luar untuk menyokong dan memahami dirinya.

"Asbab perkongsian hobi ini kami mengumpul beberapa vespa dan lambretta antaranya jenis vespa PX150, vespa PX200, lambretta special, lambretta LI3 dan vespa Jobot," katanya.

Siti Zakirah berkata, banyak pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang melakukan hobi bersama antaranya apabila mereka bersama-sama menyertai aktiviti berkonvoi ke sebuah program vespa di Melaka pada 2018.

"Dalam perjalanan pulang saya mengalami kemalangan apabila vespa yang saya tunggang hilang kawalan dan terbabas.

"Sejak kejadian itu, setiap kali konvoi suami akan berada di belakang saya bagi memantau dan menjaga keselamatan saya," katanya.

Kini mereka dalam perancangan untuk mengembara ke seluruh Malaysia dengan menunggang vespa yang berkemungkinan mengambil masa lebih dua minggu.

Katanya, biarpun sering melakukan hobi bersama, dia dan suami tidak mengabaikan keluarga serta kerjaya masing-masing.

SITI Zakirah (dua dari kiri) bersama suami dan anak
SITI Zakirah (dua dari kiri) bersama suami dan anak

"Hanya sekiranya ada program vespa dan mempunyai kelapangan, kami akan minta jasa baik keluarga untuk menjaga anak-anak supaya dapat sama-sama menunggang vespa. Namun sekiranya program berlangsung di kawasan berdekatan, kami akan membawa anak-anak bersama sebagai aktiviti keluarga.

"Keluarga amat memahami 'me time' kami berdua kerana inilah cara kami meredakan tekanan daripada kerja," katanya.

Katanya, manfaat apabila pasangan suami isteri melakukan hobi bersama-sama ialah dapat membentuk persefahaman yang lebih kuat.

"Selain itu, ruang untuk mengenali 'orang baru' lebih kecil berbanding suami yang banyak menghabiskan hobi bersama teman-teman tanpa isteri.

"Mempunyai hobi bukanlah ancaman kepada hubungan suami dan isteri malah mampu mengukuhkan perhubungan antara kedua-duanya sekiranya dilakukan bersama," katanya.

Bagaimanapun, bagi isteri dan suami yang mempunyai hobi berbeza, tidak salah saling menyokong satu sama lain.

"Contohnya, jika suami suka berkonvoi, apa salahnya isteri yang menjadi peneman halal buat suami, pasti lebih menyeronokkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 7:01 AM