AHLI keluarga Nurul, pengurusan Honda Malaysia dan kakitangan MJN Motors.
AHLI keluarga Nurul, pengurusan Honda Malaysia dan kakitangan MJN Motors.
Lizam Ridzuan


Model kenderaan 'Comfortable Runabout Vehicle', Honda CR-V kini tampil dengan dua pilihan warna baharu iaitu Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic.

Ia bagi menggantikan warna Passion Red Pearl dan Modern Steel Metallic yang ditawarkan sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Honda Malaysia Hironobu Yoshimura berkata, dua warna ini lebih menyerlah dan ranggi untuk lebih pilihan kepada pengguna.

"Dua warna yang diperkenalkan ini turut ditawarkan untuk model City, City Hatchback, Civic, BR-V dan HR-V Serba Baharu.

"Ignite Red Metallic adalah pilihan utama pembeli yang menyumbang 18 peratus jualan untuk lima model Honda. Meteoroid Gray Metallic pula menjadi warna pilihan bagi 24 peratus daripada enam model Honda di negara ini," katanya.

Honda CR-V generasi kelima ini dilancarkan ke pasaran tempatan pada 2017 dan ia mencatatkan jualan 63,000 unit.

Model peningkatan yang diperkenalkan pada November 2020 menyumbang 27,000 unit jualan sehingga kini.

Model CR-V juga menyumbang 12 peratus kepada jualan keseluruhan Honda di Malaysia untuk tempoh Januari hingga Julai lalu.

CR-V dikuasakan dengan enjin 1.5 VTEC pengecas turbo. Ia menjana kuasa 193PS dan tork 243Nm serta dilengkapi lapan ciri bantuan keselamatan termaju Honda Sensing.

Empat varian ditawarkan iaitu 2.0L 2WD, 1.5L TC-P 2WD, 1.5L TC-P 4WD dan Black Edition yang dijual pada harga bermula RM146,900 hingga RM171,400.

Pada perkembangan lain, Honda Malaysia menyerahkan model HR-V Serba Baharu kepada pemilik pertama, Nurul Hafida Mhd Jais pada majlis diadakan di bilik pameran pengedar sah Honda, MJN Motors di Cheras, Selangor.

Sebagai pemilik pertama, Nurul Hafida berkata, dia memilih model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak itu kerana rekaan luaran yang menarik dan bergaya.

"Sebelum pelancaran, saya sudah membuat kajian dan perbandingan model ini sebelum membuat pesanan sebaik tempahan dibuka. Saya tidak menyangka dipilih sebagai pemilik HR-V yang pertama di Malaysia," katanya selepas majlis penyerahan.

Hadir sama ketika penyerahan ialah Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia Sarly Adle Sarkum.

Nurul Hafida juga menerima aksesori sah Honda, lapisan Ultra Glass Body Coating dan barangan rasmi Honda Malaysia bernilai RM5,700 sebagai penghargaan.

Honda HR-V Serba Baharu dengan tiga pilihan trenkuasa terdiri daripada 1.5L e:HEV, 1.5L VTEC Pengecas Turbo dan 1.5 i-VTEC.

Ia dijual pada harga bermula RM114,800 hingga RM140,800.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 6:55 AM