HONDA CR-V Serba Baharu yang dilancarkan semalam. - Gambar NSTP/FATHIL ASRI
HONDA CR-V Serba Baharu yang dilancarkan semalam. - Gambar NSTP/FATHIL ASRI
Lizam Ridzuan


HONDA Malaysia menyasarkan jualan 1,000 unit sebulan untuk model kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V Serba Baharu yang dilancarkan, semalam.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hironobu Yoshimura berkata, sejak tempahan dibuka pada November lalu, 2,000 tempahan diterima setakat ini.

"Untuk tiga suku pertama tahun ini, jualan CR-V mengalami pertumbuhan 10 peratus jika dibandingkan tempoh sama pada tahun lalu.

"Bagi meneruskan kesinambungan sebagai SUV bukan nasional pilihan pelanggan di negara ini, CR-V Serba Baharu generasi keenam dilancarkan dengan pelbagai ciri terbaharu dan tampil lebih elegan," katanya pada majlis pelancaran di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia Sarly Adle Sarkum.

Menurutnya, Honda Malaysia varian V disasarkan sebagai varian paling laris dan tempoh menunggu untuk tempahan CR-V Serba Baharu ini sekitar dua hingga tiga bulan.

Selain rekaan luaran dan dalaman baharu CR-V Serba Baharu ini juga pertama kali ditawarkan dengan enjin hibrid generasi baharu menerusi 2.0L e:HEV RS 2WD yang juga varian tertinggi selain 1.5L S 2WD, 1.5L E 2WD, 1.5L V AWD dengan enjin Turbo VTEC.

Ia juga didatangkan dengan pertambahan dimensi lebar dan tinggi serta lebih panjang 40 milimeter (mm) pada jarak roda dan 68 mm bagi panjang keseluruhan.

Antara ciri terbaharu lain diperkenalkan dalam CR-V Serba Baharu ialah Sistem Audio Premium Bose dengan 12 pembesar suara, paparan pandu (HUD), dan Kad Kunci Pintar.

Untuk pasaran Malaysia Honda CR-V Serba Baharu ditawarkan pada harga RM159,900 (S), RM169,900 (E) dan RM181,900 (V) dan harga varian e:HEV RS diumumkan tidak lama lagi dan mula berada di pasaran pada Januari tahun depan.

Sempena ulang tahun ke-75 Honda dan 20 tahun pengeluaran tempatan (CKD) model CR-V di Malaysia, varian S dijual pada harga RM157,900 untuk 750 unit sahaja.

Untuk rekod Honda CR-V generasi kelima terjual lebih 64,000 unit sejak diperkenalkan pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 6:15 AM