PAMERAN Motor Antarabangsa Bangkok 2023.
PAMERAN Motor Antarabangsa Bangkok 2023.
Lizam Ridzuan

Tahun 2023 dilihat sebagai bermulanya banyak sekali penawaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia selain pengenalan pelbagai teknologi, insentif dan produk berkaitan.

Namun kenderaan pembakaran dalaman (ICE) menggunakan bahan api masih tetap rancak dengan pelbagai model sama ada pertama kali diperkenalkan atau model serba baharu untuk pilihan pengguna.

Antara pelancaran paling awal ialah skuter Honda ADV160 Serba Baharu yang diperkenalkan bagi menggantikan model 150 sebelum ini.

Sesuai dengan permintaan pasaran untuk skuter yang semakin berkembang, penawaran ini dilihat sebagai satu pilihan yang ideal kepada peminat jentera dua roda. Sama ada untuk tujuan harian atau menunggang pada hujung minggu.

Kemudian pada Februari, Perodua melancarkan model Axia Serba Baharu yang tampil berbeza selepas model generasi pertama diperkenalkan pada 2014.

Sejak dilancarkan sembilan tahun lalu, model ini sudah terjual lebih 580,000 unit meneruskan ciri-ciri kenderaan mampu milik dan praktikal untuk rakyat Malaysia, ia tampil dengan rekaan lebih sporty, ranggi serta aerodinamik.

Pada Mac pula diadakan Pameran Motor Antarabangsa Bangkok 2023 (BIMS 2023)yang menghimpunkan pengeluar kereta, motosikal dan kenderaan komersial.

HONDA ADV160 enjin lebih berkuasa.
HONDA ADV160 enjin lebih berkuasa.

Selain sebagai negara yang menyediakan kilang pemasangan kenderaan pelbagai jenama antarabangsa, model yang dipamerkan juga kebanyakannya memasuki pasaran Asean dan model-model yang bakal memasuki pasaran di Malaysia boleh dilihat dalam acara itu.

Dalam acara sama dipertontonkan model model konsep Triton Serba Baharu yang kemudian dilancarkan bagi pasaran global pada Julai lalu juga di Thailand.

Seterusnya, antara lain ialah Lotus Cars Malaysia melancarkan kenderaan utiliti sukan prestasi tinggi (SUV-Hyper) elektrik (EV) sepenuhnya yang pertama di dunia iaitu Lotus Eletre ke dalam pasaran tempatan.

Ia ditawarkan menerusi tiga varian iaitu Eletre, Eletre S dan Eletre R pada harga bermula RM578,000, RM648,000 dan RM798,000 dengan dua pilihan rangkaian kuasa kuda (hp) iaitu 603 hp atau 905 hp serta jarak perjalanan dari 490km hingga 600km (WLTP).

LOTUS Eletre paling berkuasa.
LOTUS Eletre paling berkuasa.

Pada Mei diadakan Pameran Auto Malaysia (Malaysia Autoshow 2023-MAS 2023) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor membabitkan penyertaan lebih 80 jenama, selain pameran lebih 300 kenderaan baharu bertemakan 'Mobility Redefined,' ia pameran automotif terbesar di Malaysia.

Edisi MAS 2023 yang juga kali keenam diadakan sejak 2015 dianjurkan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Ia dirasmikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Penganjuran MAS 2023 seiring dengan hala tuju kerajaan untuk memanfaatkan keupayaan negara sebagai antara hab pembuatan elektrik dan elektronik (E&E).

Ia bagi menyediakan perkhidmatan menyeluruh kepada segmen Kenderaan Generasi Baharu (NxGV) yang semakin mendapat permintaan di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Menerusi pameran kali ini, pengunjung berpeluang melihat lebih dekat model EV ditawarkan, selain mendapat maklumat lebih tepat berkaitan penggunaan serta sistem pengecasan EV yang disediakan.

Proton turut melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) ketiga jenama itu menerusi model Proton X90 Serba Baharu bersempena ulang tahun ke-40 syarikat automotif negara itu.

Ia ditawarkan menerusi empat varian iaitu 1.5 TGDi Standard, Executive, Premium dan Flagship dengan pilihan enam atau tujuh tempat duduk.

Pada Jun pula, Toyota Innova Zenix Serba Baharu dilancarkan untuk pasaran tempatan dan ia adalah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang ditawarkan menerusi dua varian enjin iaitu kenderaan elektrik hibrid (HEV) selain enjin pembakaran dalaman (ICE).

Untuk pasaran Malaysia, Toyota Innova Zenix Serba Baharu dijual pada RM165,000 (2.0V) dan RM202,000 (2.0HEV)

Selain itu, buat pertama kalinya Honda memasuki pasaran SUV kompak dengan Model WR-V (Winsome Runabout Vehicle) barisan terbaharu Honda di negara ini untuk SUV segmen-A yang turut dipasarkan pasaran Indonesia dan Thailand.

Model generasi pertama itu ditawarkan menerusi empat varian iaitu S, E, V dan RS yang dijual pada harga RM89,900, RM95,900, RM99,900 dan RM107,900.

Pada Julai selepas perkembangannya tular di pelbagai platform media, pengeluar kenderaan elektrik (EV) Tesla melancarkan jenama itu untuk pasaran Malaysia menerusi model kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris, Model Y.

Kemudian pada Oktober, Tesla Malaysia secara rasminya membuka ibu pejabatnya di negara ini yang terletak di Cyberjaya, Selangor sekali gus berperanan sebagai pusat sehenti jenama itu.

Ia juga turut memuatkan pusat pameran, jualan dan penghantaran kereta pelanggan, ruang kerja, sistem pengecas super bagi kegunaan dalaman dan pusat servis.

Antara pelancaran lain menarik ialah model EV BYD Dolphin, skuter Yamaha XMax Serba Baharu 2023 dan Shell Malaysia memperkenalkan aplikasi Shell bagi kemudahan pembayaran di stesen mereka.

Pada Disember juga dengan Proton S70 Serba Baharu menawarkan empat varian iaitu 1.5T Executive pada RM73,800; 1.5T Premium (RM79,800); 1.5T Flagship (RM89,800); dan 1.5T Flagship X (RM94,800) (atas jalan tanpa insurans).

Model ini adalah dalam sedan dalam segmen-C dan model keempat selepas X70, X50 serta X90 yang dibangunkan bersama Geely.

PROTON S70 sedan segmen-C.
PROTON S70 sedan segmen-C.

Pelancaran terakhir 2023 ialah Honda CR-V Serba Baharu dengan Empat varian serta pertama kali ditawarkan dengan enjin hibrid generasi baharu menerusi 2.0L e:HEV RS 2WD, selain 1.5L S 2WD, 1.5L E 2WD, 1.5L V AWD dengan enjin Turbo VTEC.

Untuk pasaran Malaysia Honda CR-V Serba Baharu ditawarkan pada RM159,900 (S), RM169,900 (E) dan RM181,900 (V) dan harga varian e:HEV RS akan diumumkan tidak lama lagi dan akan mula berada di pasaran pada Januari 2024.

Menyentuh mengenai manfaat mobiliti kenderaan elektrik (EV), ia tidak hanya terhad kepada kereta, malah motosikal elektrik sebagai medium penting pengangkutan rakyat dengan pelancaran Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas).

Ia adalah untuk rakyat Malaysia yang berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah untuk mengambil peluang berdaftar dan memohon untuk subsidi tunai sebanyak RM2,400 yang disediakan kerajaan.

HONDA CR-V Serba Baharu.
HONDA CR-V Serba Baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 6:21 AM