X50 R3 Edisi Terhad.
X50 R3 Edisi Terhad.
Lizam Ridzuan


SELEPAS dipertontonkan buat pertama kalinya ketika acara MARii Autoshow 2023 pada Mei lalu, akhirnya Proton melancarkan secara rasmi pakej aksesori Proton X50 Edisi Ulangtahun ke-20 R3.

Ia diadakan bersempena sambutan Karnival X50 di Pusat Kecemerlangan Proton (COE) di Subang Jaya baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eskekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, seiring dengan sambutan ulang tahun ke-40 syarikat pada 2023, ini adalah peluang yang tepat untuk mengiktiraf beberapa pencapaian lain seperti R3 yang terkenal sebagai jenama sukan permotoran untuk Proton.

TAMPIL gaya sporty.
TAMPIL gaya sporty.

"R3 juga terbabit dengan pembangunan model lain dengan prestasi luar biasa untuk pelanggan kami yang meminati pemanduan gaya prestasi dan pakej aksesori ini melengkapi ciri-ciri terbabit yang dibangunkan khas untuk SUV ini," katanya.

Direka untuk meraikan dua dekad jenama R3, pakej aksesori itu terdiri daripada vinil hitam satin, aerokit R3 rekaan khas (skirt hadapan, belakang dan sisi), jalur bonet R3, spoiler bumbung belakang bergaya dan rim aloi ringan 18 inci R3.

Selain itu, ia juga dengan logo gril hadapan R3, plat nama belakang edisi terhad R3, plat nama papan pemuka, sulaman pada kepala kerusi R3 untuk pemandu dan penumpang hadapan serta tikar R3 dan lapisan penapis haba tingkap Proton.

Model ini terhad kepada 200 unit pakej sahaja dan tersedia kepada pembeli model Proton X50 1.5 TGDi Flagship berwarna Jet Gey menerusi varian Flagship dengan tambahan RM12,000.

Ia adalah termasuk pemasangan dan boleh ditempah dari mana-mana cawangan Proton dan penghantaran bermula pertengahan November ini.

CIRI eksklusif pada tempat duduk.
CIRI eksklusif pada tempat duduk.

Proton X50 mula dilancarkan untuk pasaran tempatan pada 2020 menerusi empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship yang dijual pada harga RM86,300 hingga RM113,300 (Flagship).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 6:14 AM