Lizam Ridzuan


SELEPAS tular di media sosial, akhirnya model Proton X50 dipertontonkan kepada media di kilang pemasangan Proton di Tanjong Malim, Perak.

Model ini adalah model kedua kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diperkenalkan selepas X70 pada 2018 hasil kerjasama strategik bersama syarikat pengeluar kenderaan Geely, China.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, mereka menyasarkan jualan 4,000 unit untuk model ini sehingga akhir 2020 dan kapasiti kilang pengeluaran mampu mencapai sehingga 8,000 unit.

"Kami membuka tempahan Proton X50 dan sekiranya berlaku peningkatan di luar jangkaan, syarikat akan menambah jumlah pengeluaran bagi memenuhi permintaan pembeli.

TAWARAN SUV terbaharu daripada Proton.
TAWARAN SUV terbaharu daripada Proton.

KOMPAK dan sporty.
KOMPAK dan sporty.

REKAAN dalaman elegan dan fleksibel.
REKAAN dalaman elegan dan fleksibel.

SISTEM GKUI generasi kedua.
SISTEM GKUI generasi kedua.

"Ini berikutan pengecualian cukai jualan 10 peratus masih ditawarkan untuk kereta penumpang sehingga hujung tahun ini dan pelanggan berpeluang mendapatkan harga lebih menarik," katanya pada sesi pratonton media model itu baru-baru ini.

SUV dalam segmen-B ini dibina di atas platform BMA (B-segment Modular Architecture) yang turut digunakan oleh produk Geely dan Volvo.

Model yang diasaskan daripada model Binyue untuk pasaran di China didatangkan dengan empat varian.

Tiga varian iaitu 1.5T Standard, 1.5T Executive dan 1.5T Premium dilengkapi enjin 1.5 liter pengecas turbo dan yang tertinggi dengan 1.5TGDi Flagship.

Ia juga dipadankan dengan kotak gear transmisi dwi-klac 7 kelajuan (DCT), lampu hadapan LED dan kamera undur sebagai ciri standard.

Enam beg keselamatan SRS, rim aloi 18 inci, kerusi balutan kulit dan warna dwi-tona luaran dan Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI) generasi kedua juga ditawarkan pada varian tertinggi.

Tiada pengumuman harga setakat ini yang akan diketahui pada hari pelancaran, namun bakal pembeli boleh menempahnya dengan bayaran RM500 bermula 16 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 6:00 AM