REKAAN lebih elegan, sofistikated menyerlahkan penampilan pemakai.
REKAAN lebih elegan, sofistikated menyerlahkan penampilan pemakai.
Nurul Husna Mahmud


ACARA berprestij seperti malam gala atau berjalan di karpet merah menyaksikan penampilan atau rekaan 'evening dress' atau gaun malam lebih elegan dan glamor.

Gaun malam adalah istilah eksklusif busana wanita yang kebiasaannya memiliki rekaan lebih elegan dan sofistikated bagi menonjolkan penampilan pemakainya.

Bagi rekaan luar negara, kebiasaannya gaun malam lebih 'daring' dan berani mengikut personaliti pemakainya dalam golongan sosialit dan artis.

Di Malaysia istilah gaun malam lebih unik kerana rekaan lebih fleksibel selain memiliki elemen tempatan membuatkan pilihan busana itu lebih variasi tidak terhad kepada potongan gaun labuh semata-mata.

Menurut pensyarah dan pereka fesyen, Khalik Mustafa, biarpun rujukan atau inspirasi pereka berdasarkan pereka antarabangsa, tetapi sentuhan atau gaya gaun malam tempatan masih menekankan ciri-ciri serta identiti tempatan.

"Di Malaysia, gaun malam tidak semestinya ditampilkan dalam terjemahan gaun labuh meleret sebaliknya rekaan diolah mengikut kesesuaian budaya dan pemakai tempatan terutama Muslimah.

"Pereka tempatan lebih cakna dan menghasilkan rekaan yang bukan sahaja sesuai dengan tema majlis, tetapi juga imej pemakai.

"Gaun malam ada kalanya dihasilkan dalam potongan baju kurung, tetapi diolah pada bahagian tertentu untuk tampil lebih elegan dan glamor.

"Rekaan gaun malam yang baik adalah busana yang dapat membantu menonjolkan keterampilan dan sisi feminin supaya mereka sentiasa kelihatan cantik sepanjang majlis atau acara," katanya.

Tambah Khalik, busana gaun malam juga kerap ditampilkan dengan material dan perincian mampu menyerlahkan pesona pemakai.

"Berbanding dengan busana kasual atau formal, gaya gaun malam selalunya ada kemasan atau perincian seperti manik, labuci dan kristal memberi nilai tambah kepada rekaan terbabit.

"Ada juga pereka mengetengahkan material fabrik mewah seperti satin, sutera, lace, sifon bagi membantu memberi imej senada dengan atmosfera majlis.

"Terutama dalam acara karpet merah yang kebiasaan menjadi tumpuan lensa bagi mendapat hasil visual baik," katanya.

Tidak lupa berkongsi trend terkini dalam penggayaan gaun malam, kata Khalik, pereka tidak hanya bermain dengan aksesori, malah mereka juga bermain dengan pola rekaan.

PERLU penggayaan yang sesuai supaya penampilan gaun tidak canggung.
PERLU penggayaan yang sesuai supaya penampilan gaun tidak canggung.

"Sekarang ini yang tengah popular dalam rekaan pereka fesyen adalah aliran teknik 'pattern magic' dari Jepun.

"Perincian atau kemasan itu dibuat pada kain itu sendiri dengan corak, reka bentuk dan tekstur seolah-olah ada dimensi tersendiri menyebabkan rekaan gaun malam lebih menonjol.

"Tidak semestinya gaya glamor atau sofistikated pada gaun malam hanya terhasil dengan perincian yang berkilauan (blink).

"Gaya kreativiti boleh diketengahkan pada pola rekaan dan kemasan bahagian tertentu, sekali gus menjadikan gaun malam lebih istimewa," katanya.

Penting untuk pereka tahu batasan supaya rekaan busana malam tidak menjadi kostum atau pakaian beragam.

"Pemakai juga perlu tahu penggayaan sesuai dari pilihan aksesori seperti perhiasan diri, kasut dan beg sepadan. Begitu juga untuk padanan tudung Muslimah," katanya.

Sementara itu, bagi perintis pereka fesyen seperti Faris Hakim Salim, 20, menghasilkan gaun malam berinspirasikan Malaysia disifatkan mencabar.

Kata Faris Hakim, dia tertarik dengan hasil pereka fesyen Itali Riccardo Tisci dalam koleksi Givenchy Spring 2011 Couture.

"Dalam 'look' gaun malam, saya tertarik dengan hasil rekaan Riccardo Tisci kerana koleksi pakaiannya yang bersiluet 'sheath' (sarung atau lapisan pelindung), bentuk berstruktur, origami dan kepala seperti pahlawan yang diilhamkan dari karya seni Jepun.

"Harmonikan dengan identiti atau idea melambangkan Malaysia menerusi inspirasi kereta nasional pertama iaitu Proton.

"Selepas membuat kajian memutuskan untuk membuat Proton Saga kerana model yang pertama yang dikeluarkan Proton.

"Selain itu juga, Proton Saga saya pilih kerana ulang tahun model sulung kereta buatan Malaysia itu menginjak ke 37 tahun pada 9 Julai lalu," katanya.

Perincian berinspirasikan Proton Saga boleh dilihat pada kemasan seperti lipatan origami yang menyerupai bahagian depan kenderaan terbabit di belakang gaun malam dihasilkan pereka muda terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 7:00 AM