BAHAGIAN dalaman perlu dicuci dan dikeringkan.
BAHAGIAN dalaman perlu dicuci dan dikeringkan.
Lizam Ridzuan


BANJIR yang melanda beberapa negeri bukan sahaja menyebabkan kemusnahan harta benda seperti perabot rumah malah juga kenderaan .

Sebagai satu daripada keperluan harian, ia perlu segera dibaik pulih bagi memastikan kelangsungan dan kelancaran rutin pemiliknya.

Beberapa langkah boleh diambil bagi memastikan 'kenderaan banjir' ini boleh diselamatkan.

Pengurus Jabatan Latihan Teknikal Proton Edar Suhaizi Abd Manan berkongsi dengan Vroom kaedah menangani masalah kenderaan dimasuki air banjir.

Sebelum banjir

Menurutnya, sebelum paras air meningkat, jika pemilik sempat, buka dahulu terminal bateri kenderaan bagi memastikan bekalan kuasa elektrik dapat diputuskan.

Ia untuk keselamatan dan mengelak berlaku litar pintas yang boleh menyebabkan penggera kenderaan berbunyi dan kerosakan kepada unit kawalan komponen elektronik.

Ia juga boleh mengurangkan kerosakan yang lebih teruk berlaku kepada komponen itu selepas tenggelam terkena air.

Pemilik juga boleh menutup lubang ekzos dengan plastik atau kain untuk mengelakkan lumpur atau air daripada memasuki saluran dan tersumbat ketika proses baik pulih.

Kemungkinan air juga boleh memasuki semula ke dalam enjin menerusi paip ekzos ketika proses menghidupkan enjin kenderaan dilakukan jika tidak menutupnya.

Pasca Banjir

Selepas banjir, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah untuk menghubungi trak tunda dan membawa kenderaan yang terkesan ke pusat servis berdekatan.

Sebaiknya, enjin tidak dihidupkan selepas air surut atau cuba menyambung kembali kabel bateri yang ditanggalkan bagi mengelakkan kerosakan yang lebih teruk berlaku pada kenderaan.

Ini kerana air yang sudah memasuki bahagian dalam enjin boleh mengakibatkan 'conrod' bengkok atau patah dan piston boleh pecah jika pemilik cuba menghidupkan enjin.

Kenderaan moden terkini kebanyakannya mempunyai banyak komponen elektronik seperti Unit Kawalan Enjin (ECU) dan komponen elektronik yang lain masih belum kering sepenuhnya dan boleh menyebabkan litar pintas jika pemilik menyambungkan terminal bateri dan cuba menghidupkan sistem elektronik dan enjin.

KENDERAAN diperiksa
KENDERAAN diperiksa

TANGGALKAN kabel bateri.
TANGGALKAN kabel bateri.

Menurutnya, jika di Proton atau mana-mana pusat servis sah lain, mekanik terlatih akan memeriksa tahap paras air yang memasuki kenderaan dan dari situ pemeriksaan lebih teliti akan dilakukan menerusi empat tahap iaitu A, B, C, D.

A. Paras Bumbung

Sekiranya kereta ditenggelami air separas bumbung, untuk ruangan kabin, keseluruhan bahagian perlu ditanggalkan termasuk tempat duduk dan papan pemuka bagi memeriksa seluruh komponen elektronik.

Pada bahagian enjin juga, pemeriksaan menyeluruh akan dilakukan dengan membuka bahagian palam pencucuh, penapis udara, kotak fius dan lain-lain dan melakukan semburan angin untuk mengeringkan komponen tersebut.

B. Paras papan pemuka

Jika air pada paras papan pemuka, maka ruangan kabin termasuk penyaman udara, kluster meter, beg keselamatan, pengesan undur, kamera undur untuk parkir antara yang akan diperiksa.

Pada bahagian enjin, seperti bahagian A (paras bumbung), antara yang diperiksa ialah bahagian transmisi, unit Kawalan Kestabilan Elektonik (ESC)/(ABS), radiator dan lampu utama juga dilakukan.

C. Paras tempat duduk

Sekiranya air banjir menenggelami sehingga paras tempat duduk, ia perlu dibuka manakala bahagian pelapik lantai dijemur.

Bahagian lain seperti sensor minyak, gear, brek dan kunci juga akan diperiksa.

Pada ruang enjin, pemeriksaan alternator, starter dan beberapa bahagian lain yang terkesan turut akan diperiksa.

D. Paras lantai kenderaan

Jika air naik sehingga paras lantai kenderaan, maka antara yang perlu dilakukan ialah menanggalkan pelapik lantai, tali pinggang keledar dan pre-tensioner (untuk pemandu dan penumpang).

Pada bahagian enjin, yang diperiksa ialah minyak pelincir dan transmisi untuk memastikan tiada campuran air.

Selain itu, bahagian elektronik juga akan diperiksa seperti brek dan penderia roda bagi memastikan ia dalam keadaan yang baik dan selamat digunakan.

Ini semua antara yang akan diperiksa oleh mekanik di pusat servis mengikut tahap air yang menenggelami kenderaan sebelum kerja-kerja penggantian alat ganti dan komponen dilakukan.

Disarankan pemilik merujuk kepada pusat servis bertauliah untuk menyelamatkan kenderaan serta komponen terutama pada bahagian dalaman enjin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 6:44 AM