WANITA sering dilabel hanya tahu memandu tapi selalu mengabaikan aspek penjagaan dan penyelenggaraan.
WANITA sering dilabel hanya tahu memandu tapi selalu mengabaikan aspek penjagaan dan penyelenggaraan.
HM Digital

Wanita sering dilabel hanya tahu memandu tapi selalu mengabaikan aspek penjagaan dan penyelenggaraan apatah lagi hendak mengambil tahu perihal kenderaan yang dipandu.

Selain sering dianggap ‘buta’ dalam memastikan keselamatan kenderaan dan penjagaannya, kebanyakan wanita biasanya lebih gemar menyerahkan bulat-bulat kepada pusat servis kenderaan atau bengkel kereta untuk penyelenggaraan.

Sesetengah wanita mungkin mengetahui serba sedikit penjagaan asas kereta seperti mengisi angin tayar, memeriksa air bateri atau minyak enjin mahupun menukar tayar kereta jika pancit.

Apabila anda mempunyai sedikit kemahiran ini, ia bukan saja dapat menjaga keselamatan di jalan raya malah membantu jika berlaku keadaan tidak diingini.

Buktinya, kajian Bosch Automotive Aftermarket baru-baru ini mendedahkan hanya satu peratus wanita menunjukkan mereka dapat menyelesaikan masalah kenderaan apabila rosak, berbanding 48 peratus lelaki.

Kaji selidik kendalian Bosch yang juga pembekal utama komponen automotif untuk pasaran selepas itu, meninjau 350 pemandu Malaysia berumur antara 18 dan 55 tahun bagi mendapatkan pemahaman mengenai kebiasaan pengurusan bateri kereta dalam kalangan pemandu di negara ini mendedahkan kegagalan bateri sebagai penyebab utama kerosakan kenderaan.

Pengurus Negara Bosch Automotive Aftermarket Malaysia Pang Yoon Kong berkata, kajian itu juga menunjukkan 70 peratus kerosakan kenderaan disebabkan oleh kerosakan bateri.

Katanya, perkara ini bukan saja boleh memberi kesulitan tetapi risiko keselamatan kepada semua pemandu, terutama wanita jika mereka terkandas sendirian.

Kaji selidik itu juga mendapati 84 peratus wanita mendapatkan keluarga dan rakan manakala 12 peratus daripada mereka memanggil organisasi pertolongan auto apabila kereta terhenti akibat kegagalan bateri.

“Mengikut kaji selidik itu, masih ramai pemandu wanita yang tidak mengetahui bagaimana mereka boleh mencegah kerosakan kereta yang disebabkan oleh bateri.

“Dalam usaha memperkasakan pemandu wanita, kami menyarankan supaya mereka mengambil usaha mendapatkan lebih banyak pengetahuan mengenai kenderaan sendiri dan mengenal pasti tanda awal kegagalan bateri,” katanya.

Lima tanda bateri kereta gagal:

- Enjin yang perlahan

Enjin lambat dan mengambil masa lebih lama daripada biasa untuk bermula.

- Lampu amaran pada papan pemuka

Apabila kuasa bateri lemah, lampu amaran enjin pada papan pemuka akan muncul.

- Perlu cas semula bateri (jump start)

Gantikan bateri jika kenderaan sudah caj semula lebih daripada tiga kali dalam seminggu.

- Kes bateri bengkak

Bateri kereta yang terdedah kepada haba yang berlebihan mungkin membengkak dan mengakibatkan jangka hayatnya lebih pendek.

- Bau seperti telur busuk

Oleh kerana bateri kereta mengandungi asid sulfurik, ia akan melepaskan gas berbau busuk, seperti telur busuk, jika berlaku pintasan, beku atau terlebih caj. Pastikan bateri diperiksa secepat mungkin kerana kebocoran asid sulfurik boleh merosakkan bahagian kereta lain.

Pang berkata, 29 peratus pemandu wanita, berbanding 22.6 peratus lelaki masih menggunakan bateri asid plumbum berbanding bateri yang bebas penyelenggaraan, seperti yang ditunjukkan dalam kaji selidik itu.

“Lebih ramai pemandu kini lebih suka bateri bebas penyelenggaraan, berbanding bateri asid plumbum yang memerlukan penyelenggaraan kerap dan tetap oleh pemandu.

“Bateri bebas penyelenggaraan ada banyak kelebihan kerana biasanya kuasa ‘cranking’ yang lebih tinggi dan menanggung kapasiti, mengecas lebih cepat dan tahan lama.

“Pemandu dapat menikmati pengalaman memandu tanpa tekanan tanpa bimbangkan paras air bateri yang berbeza,” katanya. -Yusliza Yakimir Abd Talib

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 10:43 AM