Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pemilik kenderaan yang terjejas akibat banjir menarik nafas lega apabila syarikat pengeluar kenderaan memberikan diskaun bagi rebat perkhidmatan tunda, diskaun ke atas alat ganti terpilih dan pemeriksaan percuma ke atas kenderaan mereka.

Pemilik kenderaan Perodua Myvi, Muhammad Amin Ishak, 32, berkata, keretanya rosak akibat banjir yang berlaku di kediamannya di Taman Sri Muda, Shah Alam.

"Pada mulanya memang buntu, bukan sahaja kereta malah barang elektrik lain dan saya tidak dapat berfikir apa yang perlu dilakukan.

"Selepas pengumuman kerajaan berhubung rebat dan diskaun oleh syarikat pengeluar kereta, saya mampu menarik nafas lega dan kini sudah menghantar kereta ke pusat servis," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, setakat ini dia masih belum memperoleh kos sebenar jumlah baik pulih kereta miliknya.

"Saya masih belum menerima jumlah sebenar namun sudah pasti banyak penjimatan berikutan diskaun yang ditawarkan kepada mangsa banjir," katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sehingga kelmarin, sebanyak 1,675 kenderaan yang terjejas dengan banjir sudah dihantar ke pusat servis di seluruh negara untuk diperiksa.

"Sambutan yang menggalakkan ini adalah tindak balas positif pelanggan kami mengenai pengumuman Perdana Menteri mengenai program Perodua Flood Assistance.

"Fokus kami sekarang adalah untuk memastikan kenderaan yang dihantar ke pusat servis dapat diselenggara dengan segera.

"Perodua juga sedang bekerjasama dengan pihak insuran dan pihak yang berkenaan untuk memastikan proses dapat dibuat dengan secepat mungkin," katanya.

Mengulas mengenai kerosakan kenderaan, Zainal Abidin berkata, kos baik pulih kenderaan yang rosak dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kerosakan 100 peratus di mana air banjir sampai ke bumbung kereta.

"Ini bermakna semua komponen dalam kenderaan itu rosak sepenuhnya dan kos untuk membaiki kenderaan berkenaan adalah antara RM10,000 dan RM15,000.

PENDUDUK di Pangsapuri Andorra, Taman Sri Muda, Shah Alam membersihkan kenderaan masing-masing selepas ditenggelami banjir. FOTO FAIZ ANUAR
PENDUDUK di Pangsapuri Andorra, Taman Sri Muda, Shah Alam membersihkan kenderaan masing-masing selepas ditenggelami banjir. FOTO FAIZ ANUAR

"Bagi kategori kedua pula ialah kerosakan 50 peratus di mana air banjir sampai ke papan pemuka kenderaan dan kos baik pulih kenderaan dalam kategori ini dianggarkan antara RM7,500 dan RM8,500.

"Manakala kategori ketiga ialah kerosakan 20 peratus di mana air banjir hanya naik ke lantai kenderaan dan kos baik pulih bagi kategori ini adalah antara RM1,500 dan RM2,500," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penyediaan sokongan menerusi Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi meringankan beban golongan terbabit.

Antara sokongan disediakan ialah pemberian diskaun dan baucar tunai RM1,000 bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua kenderaan terkesan banjir bermula bulan ini.

"Saya faham dan sedar bahawa banyak kenderaan yang rosak teruk akibat musibah banjir yang menjejaskan bukan hanya pergerakan, tetapi juga punca pendapatan. Bagi pemilik Perodua dan Proton, syarikat ini menawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan serta upah baik pulih di samping diskaun 50 peratus ke atas alat ganti.

"Manakala syarikat lain pula menyediakan perkhidmatan tunda kenderaan secara percuma dan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus ke atas alat ganti serta upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar," katanya ketika menyampaikan perutusan Tahun Baharu 2022, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 6:45 AM