SIMBOLIK penyerahan sempena 'Petronas 50 Dreams' oleh wakil Petronas kepada pesakit kanser tulang, Siti Zubaidah (baju biru) di LTSIP. FOTO Siti Rohana Idris
SIMBOLIK penyerahan sempena 'Petronas 50 Dreams' oleh wakil Petronas kepada pesakit kanser tulang, Siti Zubaidah (baju biru) di LTSIP. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Impian seorang remaja perempuan yang menderita kanser tulang untuk menjejaki Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) akhirnya tercapai apabila ia direalisasikan Petronas sempena ulang tahun ke-50.

Siti Zubaidah Zulkifli, 17, yang menghidap kanser tulang tahap dua berkata, impiannya untuk melawat KLCC sudah disimpan sejak kecil, namun menganggap latar belakang keluarganya yang agak susah menjadikan impian itu mustahil.

Lebih buruk apabila dia disahkan menghidap kanser tulang sejak dua tahun lalu sekaligus meranapkan hasratnya kerana banyak kos yang perlu ditanggung keluarga untuk perbelanjaan perubatannya.

"Sejak kecil lagi saya ingin ke KLCC yang selama ini hanya mampu melihat di kaca televisyen saja dan selepas didiagnos kanser tulang dua tahun lalu, saya rasa agak mustahil untuk sampai di sana.

"Ia memerlukan perbelanjaan besar selain kekangan rawatan yang saya jalani namun selepas dikunjungi Petronas yang bertanyakan impian, saya terus suarakan hasrat ini seterusnya ia berjaya direalisasikan hari ini," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini, hari ini.

Siti Zubaidah yang juga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Melintang, Jeli, berkata, dia memilih untuk melawat KLCC kerana tertarik dengan banyak lokasi yang berunsurkan sains yang terdapat di sana.

Dalam masa yang sama, dia juga bercita-cita menjadi doktor walaupun agak sukar menggapai cita-cita itu memandangkan keadaan kesihatannya yang belum pulih sepenuhnya.

"Sepanjang tahun lalu saya gagal hadir ke sekolah disebabkan perlu menjalani rawatan kimoterapi dan keluarga juga berkampung di hospital.

"Tawaran yang diberikan Petronas ini saya anggap bagai bulan jatuh ke riba kerana walau hanya dua hari satu malam, lawatan ini sangat bermakna buat saya," katanya yang ditemani ibu dan bapa saudara serta dua sepupunya.

Dalam lawatan Siti Zubaidah esok, dia dan keluarganya akan menginap satu malam di hotel lima bintang sebelum dibawa ke SURIA KLCC, Aquaria, Dek Pemerhatian tingkat 86 KLCC.

Sementara itu, Pengurus Besar Pejabat PETRONAS Wilayah Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli, berkata, impian Siti Zubaidah itu direalisasi pihaknya menerusi 'PETRONAS 50 Dreams'.

"Sebuah telefon pintar juga akan dihadiahkan kepada Siti Zubaidah seperti yang diinginkannya bagi merakamkan gambar kenangan sepanjang lawatan ke KLCC.

"Selain itu PETRONAS Dagangan Berhad dengan kerjasama Rakan Niaga Stesen Petronas Jeli juga akan menyediakan kemudahan pengangkutan bagi urusan rawatan Siti Zubaidah dari rumahnya di Jeli ke Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian selama dua tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 2:48 PM