Kereta Proton Persona Elegance 1.6 liter keluaran 2010 yang saya miliki mengalami beberapa masalah yang masih tidak selesai, biarpun dihantar ke pusat servis Proton.

Sebelum ini saya pernah menukar unit IAFM di pusat servis Proton. Namun selepas itu, kereta saya kadangkala rasa 'tersentap-sentap' seketika, terutama memandu dalam gear satu biarpun ketika itu melepaskan klac dengan perlahan.

Dalam gear lima pula, kereta saya turut mengalami masalah sama secara berterusan ketika melepaskan pedal minyak.

Saya juga pernah menukar penapis bahan api dan palam pencucuh, tetapi masalah sama masih berulang.

Selain itu, saya merasakan enjin terlampau panas walaupun memandu perjalanan jarak dekat dan pada masa sama takat bacaan suhu masih normal.

Apakah cara untuk saya pastikan suhu itu bukan petanda daripada masalah enjin?

ZULKIFLI MUHAMAD

Kedah

Gambaran yang anda maklumkan itu memberi bayangan ia berpunca daripada masalah campuran bahan api ­tidak tepat oleh unit pengurusan enjin.

Anda memaklumkan sudah menukar IAFM di pusat servis Proton dan sepatutnya pelarasan dilakukan supaya enjin berjalan lancar.

Banyak faktor mampu memberi masalah kelancaran enjin, termasuk masalah pemancit bahan api atau sistem nyalaan tidak mampu mengeluarkan percikan api mencukupi.

Memandangkan anda sudah menukar IAFM, disyorkan supaya membawanya kembali ke pusat servis Proton untuk menjalankan diagnostik.

Enjin yang terasa panas akan merisaukan pemandunya, namun anda tidak perlu bimbang jika bacaan itu tidak tinggi.

Untuk menguji kepanasan enjin adalah sukar, cuma boleh dibandingkan dengan kereta rakan anda untuk memerhatikan bacaan suhu itu.

Pastikan enjin anda bersih dan tiada pemasangan bahan penebat bunyi berlebihan pada bonet. Operasi kipas penyejuk radiator dan penyaman udara perlu diperiksa.

Kadangkala kita seolah-olah yakin kipas tidak bermasalah kerana ia masih berpusing seperti biasa. Tidak mustahil ia sebenar­nya beroperasi lebih perlahan daripada kelajuan sepatutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:00 AM