HANTAR kenderaan ke bengkel untuk pemeriksaan bagi mengelak perjalanan tergendala bila balik kampung.
HANTAR kenderaan ke bengkel untuk pemeriksaan bagi mengelak perjalanan tergendala bila balik kampung.
Bersama AHMAD SALIHIN ABD RAHIM


Sepanjang minggu ini, anda mungkin sibuk dengan persiapan Aidilfitri yang bakal disambut beberapa hari lagi.

Boleh dikatakan semua kelengkapan adalah baru dan ramai di antara kita tidak sabar lagi untuk bersama keluarga di kampung halaman.

Sebelum memulakan perjalanan pulang, lebih baik anda melakukan pemeriksaan secara ringkas terhadap kenderaan anda.

Ini kerana anda tidak perlu memperjudikan nasib sekiranya terkandas di pertengahan jalan atau lebih buruk lagi berada kawasan yang tiada liputan telefon mudah alih.

Secara umumnya, aspek paling penting sebelum memulakan perjalanan ialah tahap cecair enjin, hos radiator, tali sawat tayar dan brek.

Pemeriksaan perlu dilakukan sebelum memulakan perjalanan untuk pemanduan lebih selamat, selain akan membantu mencegah kos pembaikan yang tinggi pada musim perayaan.

TIP PEMERIKSAAN KERETA

1. Minyak enjin

Periksa tahap minyak dan tarikh terakhir anda menukar minyak. Jika hampir dengan tarikh penukaran minyak, lakukan terlebih dahulu.

Pastikan anda menggunakan jenama dan gred sesuai untuk melindungi hayat enjin selain mengekalkan tahap penjimatan bahan api yang optimum.

2. Bendalir transmisi dan stereng

Kotak gear dan stereng mempunyai bekalan pelincir tersendiri. Periksa manual pemilik untuk jangka masa penukarannya.

Jika kereta anda merekodkan jarak melebihi 100,000 kilometer, inilah masanya untuk menukar cecair berkenaan.

3. Hos

Periksa sama ada mempunyai bonjolan yang menunjukkan kelemahan dalam dinding hos. Jika hos kelihatan retak, ia perlu gantikan baru.

4. Tali sawat

Periksa tali sawat dengan menolaknya ke sisi menggunakan tangan supaya boleh nampak permukaan yang bergesel.

Jika ia koyak, retak atau kelihatan seperti ‘benang’ pada tali sawat itu, tiba masanya untuk diganti baru.

Membawa set tambahan tali sawat sepanjang perjalanan juga adalah bijak, apa lagi jika anda mampu menukarnya sendiri.

5. Bahan penyejuk enjin

Kenderaan baru kini dilengkapi dengan bahan penyejuk enjin yang mampu tahan sehingga 300,000 kilometer.

Jika kereta berumur kurang dari empat tahun, periksa sama ada tahap penyejuk dalam takungan plastik adalah mencukupi.

Bahan penyejuk adalah tidak sama dan bukan amalan baik untuk mencampurkan dengan jenama lain.

6. Tekanan dan bunga tayar

Tekanan angin tayar yang rendah boleh meningkatkan penggunaan bahan api dan menjadi lebih panas kerana geseran tambahan serta kemungkinan boleh meletup.

Sebelum memulakan perjalanan, pastikan tekanan keempat-empat tayar dalam keadaan baik dan bunga tidak terlalu haus atau tidak sekata.

Jika tayar kekurangan bunga atau gelembung pada sisi, ia perlu diganti baru dan jangan mengambil risiko dalam perjalanan jauh yang bakal ditempuhi.

7. Sistem brek

Cecair brek diklasifikasikan sebagai DOT3 atau DOT4 malah ada yang menggunakan DOT5. Ia adalah minyak mineral hidroskopis yang bermaksud menyerap kelembapan.

Akibat faktor masa, ia akan bertukar warna yang turut mengandungi karat. Periksa takungan brek anda untuk warna cecair dan pastikan ia sentiasa penuh.

Periksa juga pelapik brek atau cakera dan gantikan jika ia haus supaya anda mampu membrek kenderaan dengan baik sekiranya berdepan situasi kecemasan.

8. Bateri

Sistem elektrik perlu diperiksa untuk memastikan ia mengecas pada kadar yang betul.

Jika bateri berumur lebih daripada empat tahun, ia mungkin masa terbaik untuk menggantikannya.

Periksa keadaan bateri secara visual. Jika melihat sebarang kebocoran, keretakan atau kerosakan lain, gantikan bateri itu.

Pastikan terminal bateri adalah ketat dan tidak berkarat.

9. Pandu uji kereta anda

Anda perlu melakukan pemanduan singkat di lebuh raya untuk mendengar bunyi, gegaran dan memerhati tanda masalah pada tolok serta meter.

Jangan menganggap ia dalam keadaan baik biarpun memandunya setiap hari. Ini adalah ujian khas, jadi tumpukan kepada kereta anda. Sekiranya mendengar bunyi seperti bergeser atau berlanggar, kereta itu perlu diperiksa.

TIP PEMERIKSAAN MOTOSIKAL

1. Minyak enjin

Minyak enjin adalah perkara asas dalam motosikal. Pastikan minyak itu tidak terlalu lama dan mempunyai jumlah yang secukupnya.

Pastikan menggunakan minyak enjin yang disyorkan oleh pengeluar untuk memberi kesan terbaik.

2. Lampu utama dan lampu isyarat

Pastikan kedua-dua lampu utama dan belakang berfungsi dengan baik. Pencahayaan yang sempurna mampu menyelamatkan anda, selain mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Jika mahu pulang ke kampung halaman, elak menunggang waktu malam kerana kadar penglihatan adalah terhad dan boleh mengundang bahaya.

3. Tekanan angin

Periksa tekanan angin supaya ia tidak terlalu banyak atau sedikit. Pastikan tekanan angin keadaan normal selain bunga tayar masih lagi tebal.

Sekiranya tayar kekurangan bunga atau retak, dinasihatkan supaya menukar terlebih dahulu.

4. Rantai

Kekenduran rantai tidak harus melebihi 5 milimeter (mm) jika digerakkan ke atas dan bawah.

Jika anda menunggang motosikal terbaru, ia mempunyai penanda kehausan rantai pada hujung gandar untuk melaraskan rantai berkenaan.

Rantai harus diletak minyak untuk menjamin ketahanannya. Rantai yang baik boleh tahan sehingga dua tahun dalam penggunaan biasa jika dijaga dengan baik.

Penjagaan rantai mudah, pastikan rantai sentiasa berminyak dan tidak kering kerana ia cepat panas dan haus, begitu juga gegancu.

Rantai yang memanjang melebihi had juga perlu ditukar.

Memotong rantai dan menyambungnya semula adalah amalan yang tidak digalakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:00 AM