STADIUM MPT bakal menerima ‘tetamu’ pertama apabila Sri Pahang menentang TFC Ahad ini.
STADIUM MPT bakal menerima ‘tetamu’ pertama apabila Sri Pahang menentang TFC Ahad ini.
Asrol Awang


Kuantan: Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) bersedia menganjurkan perlawanan Liga Malaysia (Liga M), khususnya Liga Super yang dijadualkan bermula bulan depan.

Yang Dipertua MPT, Suris Mihat berkata sebagai permulaan, aksi pramusim Liga Malaysia (Liga M) Zon Timur akan berlangsung di stadium itu membabitkan Sri Pahang FC berdepan Terengganu FC (TFC), Ahad ini.

"Setakat ini, segalanya sudah siap daripada segi kemudahan antaranya lampu limpah, padang, bilik video bantuan pengadil (VAR) dan bilik produksi.

"Ia termasuk kemudahan Internet di stadium untuk memastikan perlawanan berjalan lancar seperti ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL)," katanya.

Bagi memastikan segalanya berada pada terbaik, Suris berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit memperuntukkan RM150,000 untuk menaik taraf Stadium MPT.

"Berdasarkan kapasiti penonton, Stadium MPT mempunyai 9,283 tempat duduk dan diharapkan peminat bola sepak di Temerloh serta daerah lain seperti Bentong, Maran, Raub, Jerantut, Bera dan Lipis dapat memberikan sokongan kepada Sri Pahang FC," katanya.

Berdasarkan perancangan, Stadium Darul Makmur yang menjadi gelanggang rasmi Sri Pahang akan ditutup bagi tempoh kira-kira enam bulan bagi menaik taraf rumput padang bermula Mei atau Jun depan.

Sebagai alternatif, Stadium MPT menjadi pilihan utama buat skuad kendalian Fandi Ahmad beraksi selaku gelanggang tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 2:44 PM