KEGEMBIRAAN jelas terpancar di wajah penyokong bola sepak Kelantan ketika KDN FC menentang Sri Pahang FC Rabu lalu.
KEGEMBIRAAN jelas terpancar di wajah penyokong bola sepak Kelantan ketika KDN FC menentang Sri Pahang FC Rabu lalu.
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Penukaran warna pasukan kepada merah putih dan penjenamaan semula Kelantan Darul Naim Football Club (KDN FC) nyata 'menjadi' apabila kembali meraih sokongan penyokong bola sepak negeri itu.

Ini dibuktikan dengan kehadiran 4,000 penonton di Stadium Sultan Muhammad ke IV,Kota Bharu menyaksikan perlawanan pramusim KDN FC menentang Sri Pahang FC, Rabu lalu.   

Angka itu adalah teramai dicatat KDN FC selepas kali terakhir menerima kunjungan ribuan penonton pada 2019.

Selepas itu, pasukan yang dahulunya dikenali sebagai Kelantan United Football Club (KUFC) sekadar meraih sekitar 700 penonton sahaja.

Kehadiran pemain ke-12 kian parah tahun lalu selepas KUFC dan rakan senegeri, Kelantan FC mengalami kekalahan demi kekalahan dan sekadar menghuni tangga ke-12 dan tangga tercorot liga musim 2023.

Penjenamaan semula pasukan diumum pada 12 Mac lalu menyaksikan KDN FC mengambil langkah berani menukar warna rasmi pasukan daripada hijau kepada merah putih bagi menampakkan identiti Kelantan, sesuai dengan warna bendera Negeri Cik Siti Wan Kembang.

Pasukan turut dijenamakan sebagai kijang emas dan menggunakan warna merah, putih sebagai jersi utama pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 3:09 PM