Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali. FOTO Arkib NSTP
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Petaling Jaya: Ugut mahu bakar premis dan merosakkan fasiliti stesen minyak, itu antara laporan yang diterima daripada pemilik apabila enggan menjual diesel subsidi kepada sindiket penyeludup.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata pihaknya menggesa supaya pemilik stesen minyak tampil membuat laporan atau aduan secara rasmi kepada bahagian penguatkuasa KPDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkait ugutan diterima itu.

"Saya merayu kepada pemilik stesen minyak, buatlah laporan sama ada kepada polis atau bahagian penguatkuasa KPDN sendiri. Kita akan merahsiakan maklumat tersebut.

"Tujuan kita adalah untuk mengekang, mendapatkan maklumat dan menyiasat supaya dapat meningkatkan penguatkuasaan serta tangkapan terhadap kes penyeludupan diesel yang berleluasa sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Harta Intelek Negara Sempena Sambutan Hari Harta Intelek Negara 2024 (HHIN2024) di Menara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan memaklumkan, pihaknya kini sedang mengumpulkan laporan daripada polis dan bahagian penguatkuasa KPDN untuk menangani isu ugutan diterima oleh pemilik stesen minyak.

"Kita akan membuat siasatan malah ada sebahagiannya sudah tumpas. (Contohnya) ada tempat tertentu baru-baru ini, sindiket itu tumpas hasil kerjasama daripada semua pihak," katanya.

"Semua pihak diharap dapat memberi kerjasama supaya KPDN dapat membuat siasatan lanjut.

"Tindakan penyeludupan dan ketirisan ini adalah sabotaj terhadap usaha kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat dengan memberikan subsidi minyak," katanya.

Sementara itu, Armizan semasa ucapannya memaklumkan MyIPO menawarkan pengecualian fi Perkhidmatan Pendapat dan Carian Awal (PCA) bagi cap dagangan untuk tempoh sebulan bermula dari 24 April hingga 23 Mei 2024.

Menurutnya, ia sempena sambutan HHIN 2024 bagi memberikan kesedaran kepada komuniti untuk mendaftarkan harta intelek mereka.

"Usahawan adalah disarankan untuk mengambil peluang ini bagi membuat semakan logo dan jenama perniagaan secara percuma supaya ia boleh didaftarkan dengan cepat tanpa melalui proses bantahan atau penolakan.

"Hasrat kerajaan adalah untuk meningkatkan pemilikan cap dagangan bagi setiap para usahawan di negara ini, seterusnya menjamin perlindungan harta intelek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 3:07 PM