TOYOTA Alphard.
TOYOTA Alphard.
Mohd Razlan Salleh

Pengedar rasmi kenderaan Toyota di negara ini, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota) meminta pemilik kenderaan pelbagai guna (MPV) Alphard dan Vellfire segera ke pusat servis berdaftar untuk pemeriksaan unit kawalan elektronik.

Kempen servis khas atau panggil balik itu bertujuan mengemas kini ECU sistem brek parkir elektrik (EPB) untuk kedua-dua model kenderaan berkenaan.

Menurut kenyataan UMW Toyota, sebanyak 1,900 unit MPV keluaran April 2016 hingga Februari 2018 terbabit dalam kempen ini.

Proses mengemas kini ECU pada EPB perlu dilakukan kerana ada kemungkinan berlaku kekurangan voltan ketika enjin dihidupkan semula selepas berhenti lahu.

Ini disebabkan ECU mengesan kejanggalan sekiranya bateri kenderaan mengalami pengurangan tenaga, sekali gus menyebabkan sistem EPB tidak berfungsi hingga lampu amaran menyala.

Bagi memastikan keyakinan dan ketenangan pelanggan, kempen servis dilancarkan di seluruh negara kepada semua pemilik Alphard dan Vellfire.

TOYOTA Vellfire.
TOYOTA Vellfire.

Pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol: 1800-8-869682 untuk maklumat lanjut atau laman web www.toyota.com.my.

Selain mendapatkan maklumat, pemilik boleh membuat pengesahan mengenai kenderaan mereka.

Toyota Alphard hadir dengan dua varian Alphard 3.5 Advanced Luxury dan 3.5 Executive Lounge.

Kedua-dua varian itu menggunakan enjin baru 2GR-FKS 3.5L V6 dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan kawalan elektronik.

Sementara Toyota Vellfire baru turut menerima perubahan kosmetik menampilkan reka bentuk tiga dimensi (3D) pada bahagian hadapan.

Model MPV mewah ini didatangkan dengan sistem Blind Spot Monitoring yang akan memberikan amaran kepada pemandu sekiranya ada kenderaan lain pada titik buta selain Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan pilihan pemasangan sistem Panoramic View Monitor (PVM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 2:50 AM