Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kes tuntutan harta sepencarian RM2.1 bilion antara balu Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr Kalsom Ismail dan empat anaknya serta ibu mentuanya gagal mencapai penyelesaian di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini.

Empat anak Kalsom adalah Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla, manakala ibu mentua, Aminah Abdullah, 89, dengan semuanya dinamakan sebagai defendan pertama hingga kelima.

Dalam kes itu, Kalsom selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi serta saham dalam beberapa syarikat tempatan.

Peguam syarie, Nur Hidayah A Bakar yang mewakili Aminah ketika ditemui selepas prosiding berkata, Hakim Syarie Abdul Shukor Abd Hamid memutuskan supaya kes itu diteruskan dengan perbicaraan berikutan kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.

"Keputusan hari ini sama ada perlu untuk direkodkan persetujuan atau perlu dibicarakan.

"Jadi tadi keputusan daripada hakim perlu dibicarakan, tiada penyelesaian semua pihak," katanya ketika ditemui di luar mahkamah, di sini.

Menurutnya, keputusan berkenaan dibacakan oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi yang kemudian menetapkan sebutan kes pada 9 Oktober ini.

Kalsom, 67, memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan empat anak serta ibu mentuanya sebagai defendan.

Pada 4 April 2015, Jamaludin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat ketika itu berusia 64 tahun bersama lima lagi maut apabila helikopter dinaiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 4:36 PM