ROUF.
ROUF.
Agensi

Washington: Seorang lelaki menyamar dengan memakai 'sut gemuk' untuk menyimbah asid di wajah bekas kekasihnya dalam serangan mengerikan.

Milad Rouf juga menyamar sebagai wanita kulit hitam dan menyimbah asid untuk merosakkan wajah kekasihnya, Dr Rym Aloui dan meninggalkan parut kekal.

Daily Star melaporkan, pelajar perubatan berusia 25 tahun itu dipenjara selama 11 tahun kerana menyimbah asid ke wajah, leher, dan dada bekas kekasihnya itu.

Dalam kejadian mengerikan itu, Dr Rym Alaoui membuka pintu kepada Rouf yang memakai 'sut gemuk', cermin mata hitam dan pelindung wajah tanpa menyedari bahaya menunggunya.

Ketika itu Rouf menyerahkan nota ugutan kepada wanita itu dan ketika dia membongkok membacanya, lelaki itu menyimbah asid sulfurik dan lari dari tempat kejadian.

Polis kemudian melakukan serbuan di flat Rouf di Cardiff dan menemui 'senarai beli-belah' yang terperinci menunjukkan kaedah penyamarannya untuk serangan pada 20 Mei lalu.

Serangan itu dilakukan beberapa minggu selepas wanita itu memutuskan hubungan mereka dan berpindah ke Brighton, Cardiff pada April.

Saksi menggambarkan suspek sebagai wanita kulit hitam yang memakai jaket hitam dan cermin mata, kata Polis Sussex.

Pegawai menggeledah rumah Rouf dan menemui senarai tulisan tangan di laci tepi katilnya yang bertajuk kostum 1' dan menyenaraikan barangan yang kebanyakannya sepadan dengan peralatan dan pakaian yang dipakai oleh suspek pada hari serangan.

Dia juga dikesan oleh polis melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Di Mahkamah Lewes Crown semalam, Rouf dipenjara selama 11 tahun.

Dalam hujahan yang dibacakan ke mahkamah, mangsa Dr Alaoui menggambarkan bagaimana dia masih tidak dapat melihat dari mata kanannya dan tidak dapat menggerakkan lehernya atau menutup kelopak matanya dengan betul.

Dia berkata: "Sejak hari saya diserang, hidup saya berubah sepenuhnya di mana saya hidup dalam kesakitan fizikal dan psikologi yang berterusan, ketakutan akan kesejahteraan masa depan saya, dan kesusahan sosioekonomi."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 7:01 AM