MAH bertemu anak mangsa letupan bom.
MAH bertemu anak mangsa letupan bom.
Oleh Shamsul Munir Safini


Butterworth: “Anak saudara saya, Lee Jian Hen, 6, tidak dapat menatap buat kali terakhir wajah mendiang bapanya (Lee Tze Siang, 35) dan adiknya (Lee Jin Xuan, 4,) kerana keranda kedua-duanya tidak dibenarkan dibuka berikutan keadaan mayat kedua-duanya,” kata Lee Tze Tung, 31.

Tze Tung yang juga adik mendiang Tze Siang berkata, Jian Hen masih terpinga-pinga dengan keadaan di rumahnya itu, lebih-lebih lagi selepas mayat kedua-dua mangsa letupan bom di Bangkok itu tiba di kediaman mereka di Taman Cengal, di sini, awal pagi semalam.

Dia berkata, sehingga semalam, Jian Hen belum diberitahu kejadian sebenar menimpa bapa dan adiknya itu kerana bimbang dengan penerimaannya dan walaupun keadaan nampak tenang, semua ahli keluarga terganggu dari segi emosi serta belum pulih sepenuhnya berikutan kejadian malang itu.

“Kami masih bersedih dengan kejadian ini termasuk kakak ipar saya, Neoh Yee Ling, 33, yang terselamat namun masih membisu dan keadaan dirinya berbeza berbanding sebelum ini.

“Yee Ling mengalami gangguan pendengaran kesan letupan berkenaan dan akan mendapatkan rawatan di hospital sejurus selesai upacara pengebumian mendiang,” katanya ketika ditemui, semalam.

Tze Tung yang bekerja di Hatyai, Thailand berkata, kebajikan anak saudara dan kakak ipar diuruskan keluarga mereka.

Mengimbas mengenai kejadian itu, Tze Tung berkata, dia diberitahu keluarga di Pulau Pinang mengenai kejadian yang menimpa abangnya sebelum bergegas ke Bangkok menguruskan semua perkara di negara jiran itu.

Menurutnya, dia berjumpa Yee Ling di Bangkok sebelum dimaklumkan perlu membuat pengecaman kedua-dua jasad Tze Siang dan anak saudara, Jin Xuan.

“Perasaan saya berkecamuk ketika membuat pengecaman jasad mendiang apabila keluarga mangsa lain di hospital berteriak menangisi keluarga mereka yang terkorban dan keadaan kelam-kabut.

“Pada mulanya, saya tidak dapat mengecam jasad Tze Siang dan Jing Xuan. Saya mengambil masa seketika untuk mengecam semula dengan melihat wajah kedua-duanya,” katanya.

Tze Tung berkata, sejurus selesai proses dokumentasi, dia bersama Yee Ling mengiringi keempat-empat jasad pulang ke tanah air dan tiba di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), jam 10.30 malam kelmarin.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Kiong berkata, kerajaan akan membantu meringankan beban keluarga mereka yang terjejas termasuk membantu kos pendidikan Jin Hen selepas kehilangan bapanya dalam kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 8:59 AM