Syazwan Msar


Shah Alam: Tonggak Selangor FC Faisal Halim sanggup hilang pekerjaan dan gaji puluhan ribu seterusnya pulang ke kampung halaman asalkan keselamatan diri dan keluarganya terjamin.

Malah, Faisal yang juga bintang Harimau Malaya turut bersedia menukar pekerjaan dengan hanya bekerja kampung demi memastikan tiada lagi ancaman seperti kejadian simbahan asid hingga hampir mengancam nyawanya.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata, janji yang diberikan pengurusan Selangor FC termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar yang akan menjaga keselamatannya dan keluarga menyebabkan dia kembali bersemangat untuk meneruskan karier sebagai pemain bola sepak.

"Saya sanggup hilang gaji saya dan hilang kerja asalkan saya selamat dan keluarga pun selamat.

"Tapi saya lihat semangat dan janjikan kepada saya dan keluarga dengan mengatakan Mickey, awak mampu teruskan dan saya jamin keselamatan awak dan keluarga menyebabkan saya bersemangat.

"Oleh itu, pada mulanya minggu kedua saya cakap kepada datuk (Datuk Seri Shahril Mokhtar) saya sanggup hilang gaji puluh ribu asalkan keluarga saya selamat.

"Walaupun gaji sehari RM50 saya tak perlu hidup dalam ketakutan. Apa yang berlaku ini satu benda luar jangkaan.

"Yang saya tak boleh terima adalah keluarga saya dalam ketakutan tapi saya bersemangat apabila orang ramai mendoakan saya," katanya dalam sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, di sini, sebentar tadi.

Sebelum ini, pemain berasal dari Pulau Pinang itu menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali bulan lalu menyebabkan dia mengalami kelecuran tahap empat.

Dia berada dalam keadaan kritikal selepas insiden itu dan terpaksa mengharungi empat pembedahan untuk merawat luka lecuran di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Kecederaan yang dialami Faisal yang juga tonggak Harimau Malaya menyebabkan dia terpaksa menjalani empat pembedahan sebelum dibenarkan keluar hospital.

MICKEY merasa sebak pada sidang media penampilan pertama selepas insiden simbah asid di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam. -FOTO Faiz Anuar
MICKEY merasa sebak pada sidang media penampilan pertama selepas insiden simbah asid di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam. -FOTO Faiz Anuar

Faisal Halim menggigil nak main bola sepak

Parut luka Mickey meruntun jiwa siapa yang melihatnya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 4:02 PM