SHAHRIL turut hadir pada sidang media khas bersama Faisal Halim di Pusat Latihan Selangor FC di Shah Alam. -FOTO Faiz Anuar
SHAHRIL turut hadir pada sidang media khas bersama Faisal Halim di Pusat Latihan Selangor FC di Shah Alam. -FOTO Faiz Anuar
Syazwan Msar


Shah Alam: Selangor FC membuktikan mereka adalah majikan bertanggungjawab apabila komited dan berjanji menjaga kebajikan tonggak utamanya Faisal Halim sehingga dia pulih dan boleh beraksi seperti biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan bahawa pihaknya akan memastikan status kontrak Faisal atau dikenali sebagai Mickey bersama skuad Gergasi Merah hingga penghujung 2027 selamat dan terjamin.

"Kontrak Mickey bersama pasukan hingga 2027. Sebagai kelab profesional, sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai majikan untuk menjaga kebajikan semua pemain-pemain termasuk Mickey.

"Pihak kelab akan terus memberi sokongan kepada Mickey secara mental dan fizikal selain aspek kewangan sehingga dia dapat kembali beraksi semula.

"Dengan semangat yang dapat dipamerkan oleh Mickey, Insha-Allah dia akan kembali," katanya, katanya dalam sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, di sini, sebentar tadi.

Sebelum ini, pemain berasal dari Pulau Pinang itu menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali bulan lalu menyebabkan dia mengalami kelecuran tahap empat.

Pemain kelahiran Mengkuang Titi, Pulau Pinang itu berada dalam keadaan kritikal selepas insiden itu dan terpaksa mengharungi empat pembedahan untuk merawat luka lecuran di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Kecederaan yang dialami Faisal yang juga tonggak Harimau Malaya menyebabkan dia terpaksa menjalani empat pembedahan sebelum dibenarkan keluar hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 5:03 PM